SUNGAI PETANI: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyerahkan sebarang keputusan berkaitan tindakan terhadap tiga kolam takungan air ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, Baling kepada kerajaan Kedah.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya yakin kerajaan negeri memberi perhatian kepada isu itu dan memantau semua projek di Kedah dengan sebaik mungkin.

"Bagi isu itu (kolam), kita serahkan kepada kerajaan negeri, mereka pantau perkara itu dan ia sudah pastinya disusuli dengan tindakan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan buat keputusan selepas melihat sejauh mana ancaman dan bahayanya kolam takungan itu kepada penduduk di kawasan berkenaan. Jadi, kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah untuk mengeringkan tiga kolam takungan air di gunung berkenaan yang menjadi kebimbangan penduduk kerana dikatakan boleh menjadi punca kepada kejadian banjir lumpur dan aliran puing di Kampung Iboi, Baling seperti berlaku pada 4 Julai lepas.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengeringkan tiga kolam takungan air sebesar gelanggang futsal setiap satu yang ada di gunung itu secepat mungkin kerana bimbang akan berlaku banjir.

Dalam kejadian itu, banjir lumpur dan aliran puing menjejaskan lebih 800 penduduk dari 42 kampung sekitar Kupang selain meragut tiga nyawa di Kampung Iboi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata dua empangan sabo yang akan dibina di kaki Gunung Inas sedang dalam proses lantikan kontraktor dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

"Di Kedah, sebanyak tujuh empangan sabo akan dibina iaitu dua di Yan, dua di Baling dan tiga lagi tambahan di kawasan baharu. Setakat ini, satu telah siap di Yan manakala di Baling peruntukan sudah ada tetapi sedang dalam proses lantikan kontraktor.

"Apabila siap nanti, kita harap ia dapat mengurangkan impak dengan memperlahankan aliran air sungai dan menyekat aliran puing sekiranya berlaku banjir akibat hujan lebat seperti sebelum ini," katanya.

-- BERNAMA