Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri Kedah menahan dua lelaki warga India dan merampas dadah jenis ketamin dan syabu bernilai RM1.4 juta.

Menurut Pengarah Kastam negeri Kedah Datuk Abdul Aziz Abdul Latif, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan suspek keldai dadah atau dalang sindiket.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di Langkawi dan Alor Setar.

Dalam kes pertama 2 Mac lalu, anggota bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi membuat imbasan ke atas sebuah beg pakaian milik seorang lelaki dari Bangalore berumur 23 tahun.

Imbasan tersebut membawa kepada penemuan 10.322 kilogram hablur kristal putih dipercayai ketamin bernilai lebih RM300,000.

Lelaki berasal dari Chennai, selatan India itu akan dihadapkan di mahkamah pada Khamis.

Sementara itu dalam kes kedua Ahad lepas, suspek lelaki daripada Bangalore didapati membawa 5.03 kilogram hablur kristal bernilai hampir RM1 juta , dipercayai syabu sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar.

Lelaki berusia 23 tahun itu kini ditahan reman sehingga 17 Mac depan untuk siasatan.

Kedua-dua suspek dipercayai masuk ke negara ini lebih daripada tiga kali.