Kastam Selangor gagalkan seludup barang larangan bernilai lebih RM10 juta

Mohamad Azhar (tengah) menunjukkan sebahagian barangan rampasan yang bernilai lebih RM10 juta pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, Pelabuhan Klang hari ini. - Gambar Bernama
KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan bernilai lebih RM10 juta menerusi beberapa siri operasi sejak Ogos lepas.
Pengarah JKDM Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata antara barangan yang dirampas adalah cerut, panel paparan diod pemancar cahaya (LED), beras dan rokok elektronik atau vape.
Beliau berkata pihak sindiket didapati menggunakan modus operandi yang sama, iaitu membuat pengikraran palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa dan mengelakkan keperluan mendapatkan permit import (AP).
Mohamad Azhar berkata dalam operasi pertama pada 1 Ogos, pihaknya menahan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Zon Bebas Pelabuhan Barat selepas pemeriksaan menemukan 8,750 kilogram (kg) cerut dipercayai dibawa masuk tanpa AP sah."Dagangan bernilai RM6.06 juta termasuk duti dan cukai itu diikrarkan sebagai 'minuman dan lain-lain' bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 18 Julai dan dagangan dipercayai berasal dari sebuah negara di Asia," katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah di sini hari ini.
Mohamad Azhar berkata bagi kes kedua, dua kontena bersaiz 40 kaki ditahan di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 5 Ogos selepas pemeriksaan menemukan 480 unit panel paparan LED bernilai RM2.52 juta termasuk duti dan cukai.
Beliau berkata barangan itu diikrarkan sebagai 'panel paparan, alat tangan dan aksesori perkakasan' bagi mengelak dikesan, sedangkan pengimportannya memerlukan permit dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST).
"Bagi kes berikutnya pada 28 Ogos, sebuah kontena bersaiz 20 kaki ditahan di Zon Bebas Pelabuhan Barat selepas pemeriksaan mendapati terdapat 19,000 kg beras bernilai RM106,400 termasuk duti dan cukai.
"Barangan berkenaan diikrarkan sebagai 'epsom ammonium sulfat (garam)' bagi mengelak keperluan permit yang perlu diperoleh daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS)," katanya.
Mohamad Azhar berkata risikan berikutnya membawa kepada penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di lokasi sama pada 9 Sept dan merampas 30,000 unit rokok elektronik bersama 900,000 mililiter cecair nikotin bernilai RM1.32 juta termasuk duti dan cukai.
Beliau berkata pengimportan barangan berkenaan yang memerlukan AP dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) diikrarkan sebagai 'kotak penyimpanan' bagi mengelak dikesan.
"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami