Skip to main content

Malaysia

Kastam Selangor rampas tujuh lori dumper 45 tan

PELABUHAN KLANG, 5 Mac -- Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi (tengah) menunjukkan gambar rampasan membabitkan tujuh unit kenderaan berat jenis lori dumper yang disimpan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad Azhar (tengah) menunjukkan gambar rampasan membabitkan tujuh unit kenderaan berat jenis lori dumper yang disimpan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara hari ini. - Gambar Bernama

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas tujuh lori dumper (lori pembuang) didapati tidak mempunyai permit import di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini pada 14 Jan lepas.

Pengarah JKDM Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata rampasan dilakukan menerusi Ops Terma melibatkan lori dumper dengan berat kasar kenderaan melebihi 45 tan setiap satu.

Advertisement

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.099 juta manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat sebanyak RM472,570. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara hari ini.

Selain itu, Mohamad Azhar berkata pihaknya turut menyita tiga kontena bersaiz 40 kaki selepas melakukan pemeriksaan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Bara di sini pada 7 Jan lepas.

“Hasil pemeriksaan menemukan enam van panel diesel dan setiap satu mempunyai berat kasar tidak melebihi lima tan yang dipercayai tidak mempunyai permit import dengan nilai anggaran RM690,000 membabitkan duti dan cukai berjumlah RM296,000,” katanya.

Beliau berkata siasatan setakat ini mendapati dagangan berkenaan dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia dan dibawa masuk ke Pelabuhan Klang pada 17 April 2025, dengan mengisytiharkan barangan itu sebagai Motor Vehicle Colour melalui borang manifes, namun gagal mengemukakan permit import.

Mohamad Azhar berkata pengimportan kenderaan berat lori dumper dan van panel adalah tertakluk kepada Permit Import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. 

Dalam kes berlainan, beliau berkata JKDM Selangor merampas 2,566 unit dapur gas selepas memeriksa sebuah kontena bersaiz 40 kaki di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara menerusi Ops Petasan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah komoditi dapur gas yang tidak mempunyai permit import melibatkan nilai rampasan mencecah RM135,117 manakala duti dan cukai berjumlah RM35,806.

“Barangan ini tiba di Pelabuhan Klang pada 5 Jan lepas dari sebuah negara di Asia. JKDM percaya barangan ini dibawa masuk ke dalam negara berikutan permintaan tinggi ketika Tahun Baharu Cina baru-baru ini,” katanya.

Ketiga-tiga rampasan akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar.

Sementara pengimport pula boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

Must Watch Video