Skip to main content

Malaysia

Kawalan keselamatan di rumah Najib tanggungjawab Jabatan Penjara - KPN

Suasana di sekitar kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta yang dikawal ketat pihak polis hari ini. - BERNAMA
Suasana di sekitar kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta yang dikawal ketat pihak polis hari ini. - BERNAMA

Ringkasan AI

  • Jabatan Penjara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani tahanan rumah di Langgak Duta.
  • PDRM bekerjasama rapat dengan Jabatan Penjara dan menempatkan pegawai bagi membantu kawalan keselamatan sepanjang tempoh tahanan rumah tersebut.
  • Najib mula menjalani baki hukuman penjara di rumah selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah terdahulu dan menguatkuasakan tahanan rumah serta-merta.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, sejak semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Penjara dalam memastikan pematuhan aspek keselamatan berkenaan.

"Memandangkan rumah itu berada di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, jadi saya telah mengarahkan IPD untuk melaksanakan pemeriksaan dan juga kawalan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM Tahun 2026 di sini hari ini. 

Advertisement

Beliau berkata PDRM menempatkan beberapa pegawai bagi membantu Jabatan Penjara sepanjang tempoh bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman di rumah.

Semalam, Najib mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa perintah itu berkuat kuasa serta-merta.

Advertisement

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement