KUALA LUMPUR: Komited memulihkan dan merancakkan semula sektor peruncitan dalam negara, Kementerian Perdagangan Dalan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini meneruskan kembali Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi tahun 2021.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, inisiatif itu dilihat mampu meningkatkan permintaan domestik dan memperkasakan rantaian jaringan bekalan kepada perusahaan tempatan yang terkesan akibat COVID-19.

“Ini kerana pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu telah memberi impak negatif buat kebanyakan perusahaan tempatan yang rata-ratanya terkesan dengan penularan wabak tersebut.

“Inisiatif KBBM dilihat mampu meningkatkan permintaan domestik khususnya untuk memperkasakan rantaian jaringan bekalan (supply chain network),” katanya pada Majlis Prapelancaran KBBM 2021 yang diadakan secara maya.

Dalam pada itu, beliau menambah, kempen tahun ini juga menyaksikan pertambahan penglibatan rakan kerjasama strategik daripada sektor peruncitan.

“Antara rakan kerjasama strategik KBBM sektor peruncitan pada tahun ini adalah AEON Big, AEON Co., Giant, Mydin, 99 Speedmart, The Store, Hero Supermarket, KK Supermarket, Eco-shop, Lotus Store, Econsave, Lulu Group, TF Value-Mart, Bataras, Petronas dan Shell.

“Selain itu, platform dalam talian (marketplace) pula disertai oleh Shopee, LAZADA dan PGMALL,” katanya.

Sementara itu, pihaknya akan giat mempromosikan kempen tersebut menerusi pelbagai saluran media cetak, media elektronik dan platform digital selain diperkukuh dengan kolaborasi khas.

“Promosi ini diperkukuhkan lagi melalui kerjasama strategik dan kolaborasi khas dengan pihak berkepentingan yang mempunyai pengikut atau pengaruh yang tersendiri seperti melalui paparan-paparan iklan, siri Animasi Upin dan Ipin dan pelbagai lagi program cross-collaboration yang berimpak tinggi.

“KPDNHEP menyasarkan manfaat KBBM menerusi kolaborasi bersama sektor peruncitan pada tahun ini dinikmati secara terus oleh pengguna melalui penawaran harga istimewa bagi barangan keluaran tempatan,” ujarnya.

Pelaksanaan KBBM pada 2019 mencatatkan peningkatan nilai jualan sebanyak RM2.87 bilion dengan melibatkan 279,000 stock keeping unit (SKU) bagi sektor peruncitan dan RM6.84 juta nilai jualan diperoleh melalui portal dalam talian.

Tahun 2020 pula, peningkatan sebanyak RM3.3 biion dengan jumlah SKU melebihi 326,000 dan lebih RM145 juta bagi portal dalam talian.