PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi bantuan kepada atlet kayak, Siti Nurul Masyitah Elias yang parah akibat dilanggar oleh seorang pemandu mabuk di Johor Bahru pada Sabtu.

Timbalan menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Belia dan Sukan Johor untuk berhubung dengan keluarga mangsa dan menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada Nurul Masyitah.

"Kita (KBS) sudah mengarahkan Jabatan Belia dan Sukan Johor untuk berhubung dengan keluarga dan hulurkan bantuan yang diperlukan. Bukan semua atlet daripada keluarga yang senang, macam pelajar (Nurul Masyitah).

"Kita minta supaya setiap orang doakan keselamatan dan akan membantu sebaik mungkin keluarganya dan dia sendiri sepanjang rawatannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis 'Flag-Off’ dan Sidang Media Kayuhan Solo Mengelilingi Semenanjung Malaysia Bagi Latihan Pertama Ice Storm Russia Expedition 2025 pada Rabu.

Beliau turut merasmikan Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) @ KBS 2024 di Menara KBS, Putrajaya yang mana penganjuran HBN merupakan pengiktirafan dan penghargaan khusus yang diberikan oleh kerajaan kepada belia di Malaysia.

Program ini diadakan sempena HBN yang disambut 15 Mei setiap tahun.

Kemuncak kepada HBN adalah penganjuran Sambutan HBN Peringkat Kebangsaan pada 24 hingga 26 Mei  di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka dengan tema "Yakin Boleh".