MALAYSIA
KBS, KPT bincang jadikan e-sukan kursus jangka panjang di IPT - Hannah

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), untuk menjadikan e-sukan sebagai kursus jangka panjang di institusi pengajian tinggi (IPT), kata Menterinya Hannah Yeoh. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), untuk menjadikan e-sukan sebagai kursus jangka panjang di institusi pengajian tinggi (IPT), kata Menterinya Hannah Yeoh.
Beliau berkata ketika ini, usaha pembangunan bakat dalam industri e-sukan telahpun dimulakan menerusi kursus jangka masa pendek oleh Persatuan Sukan Kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara.
"Selepas kemenangan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang membawa pulang ganjaran besar (dalam arena Mobile Legends: Bang Bang), ramai sudah mula melihat e-sukan sebagai satu kerjaya.
"...tetapi, kerisauan kita sebagai ibu bapa juga memang wujud, kerana ketagihan gajet satumasalah serius di Malaysia dan kita kena cari keseimbangan dalam perkara ini," katanya menjawab celahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar), pada sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi KBS di Dewan Rakyat hari ini.Afnan Hamimi bertanyakan sama ada kementerian bersedia mempertimbang untuk mewujudkan ijazah e-sukan di universiti dalam tempoh lima tahun akan datang supaya ia dianggap sebagai bidang profesional, bukan hiburan semata-mata.
Hannah berkata kajian yang dijalankan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini mendedahkan wujudnya jurang psikologi dalam kalangan belia, khususnya dari aspek kesiapsiagaan mental yang memerlukan perhatian serius.
Beliau berkata kajian itu membuktikan pentingnya memastikan penglibatan belia dalam e-sukan tidak menjejaskan tumpuan akademik dan kesejahteraan sosial mereka.
Sementara itu, Hannah turut menjawab pertanyaan mengenai usaha KBS dalam menghubungkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kendaliannya, dengan perkembangan dan keperluan industri semasa seperti automotif.
Beliau berkata kementerian memang sedang mengambil langkah ke arah itu, namun cabaran utama adalah memastikan tenaga pengajar memiliki kepakaran yang sesuai dalam bidang berkenaan.
"Jadi kita sekarang sedang melancarkan projek perintis untuk institusi kita dulu untuk tengok dalam bidang sukan, bukan sahaja permotoran tetapi juga aviation sports yang sedang membangun menggunakan AI (kecerdasan buatan)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami