Skip to main content

Malaysia

KDN bakal umum tarikh kuat kuasa pindaan kewarganegaraan anak lahir luar negara

[TB]_Saifuddin Nasution Ismail_BERNAMA
Saifuddin berkata, persiapan itu termasuk penyediaan dokumen berkaitan, peraturan kewarganegaraan serta sistem permohonan dalam talian yang turut membabitkan pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal mengumumkan tarikh kuat kuasa pindaan peruntukan kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia, selepas semua persiapan berkaitan pelaksanaannya selesai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata persiapan itu termasuk penyediaan dokumen berkaitan, peraturan kewarganegaraan serta sistem permohonan dalam talian yang turut membabitkan pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia.

Beliau berkata penetapan tarikh kuat kuasa telah ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan KDN akan mengumumkannya selepas beberapa perkara membabitkan urusan pentadbiran selesai.

“Di peringkat kementerian (KDN), semua urusan persediaan telah diselesaikan, termasuk penyediaan dokumen dan peraturan kewarganegaraan. Kita juga telah memperoleh pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara. 

“Persiapan turut melibatkan penyediaan sistem permohonan dalam talian kerana pelaksanaannya akan membabitkan pejabat perwakilan Malaysia di seluruh negara,” katanya kepada pemberita pada Program Sua Mesra Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Khidmat Rakyat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan pindaan itu dijangka memberi kelegaan besar kepada wanita atau ibu warga Malaysia yang selama ini menunggu proses kewarganegaraan anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Saifuddin Nasution berkata daripada kira-kira 50,000 permohonan kewarganegaraan tertunggak yang sebelum ini perlu diproses, sekitar 7,000 adalah permohonan membabitkan anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warga Malaysia.

“Daripada 7,000 itu, sekarang tinggal ratusan sahaja yang belum kita buat keputusan kerana permohonan lama masih kita proses sementara menunggu pindaan ini berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata selepas pindaan berkuat kuasa dan permohonan baharu dibuka, proses bagi kategori berkenaan akan dilaksanakan mengikut peruntukan yang baharu.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata KDN terus berusaha menyelesaikan baki keseluruhan 4,121 permohonan kewarganegaraan daripada jumlah asal 50,000 permohonan tertunggak, dengan sasaran kesemuanya dapat diputuskan tahun ini.

Beliau berkata empat kategori utama yang merekodkan jumlah permohonan tinggi ialah di bawah Perkara 15A, Perkara 15(2), Perkara 19(1) dan Perkara 30(1) Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement