KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin membentangkan semula usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) bagi terus berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata subseksyen itu perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Subseksyen itu antaranya menyebut: seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara dan tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua agensi keselamatan di negara ini adalah bagi memastikan negara aman dan selamat untuk didiami," katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Hamzah berkata meskipun akta itu memperuntukkan 28 hari untuk melakukan siasatan, namun secara realitinya pihak polis hanya mempunyai tempoh 21 hari bagi membuat penyiasatan.

"Hal ini berikutan tujuh hari sebelum tamat tempoh 28 hari itu, pihak polis perlu menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut. Sekiranya berdasarkan penilaian Jabatan Peguam Negara terdapat bukti-bukti yang menyokong penglibatan seseorang yang ditangkap, maka tindakan pendakwaan di mahkamah akan dibuat," katanya.

Menurutnya dalam tempoh siasatan, polis perlu mengkaji segala maklumat hasil siasatan serta mendapatkan maklumat dari agensi-agensi penguat kuasa lain, manakala kes merentasi sempadan pula memerlukan bantuan dari negara luar bagi tujuan pengumpulan maklumat dan permohonan berkenaan memerlukan masa yang lama.

Hamzah turut menegaskan Akta 747 itu memberikan keadilan buat orang yang ditahan termasuk peluang berjumpa dengan peguam dan kes-kes kesalahan keselamatan itu juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata semua pihak tidak perlu membuat perbandingan antara SOSMA dan Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960 kerana terdapat banyak perbezaan antara kedua-duanya dengan SOSMA memberi peluang dan hak yang cukup untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.

"Menyentuh isu tahanan tanpa bicara, saya ingin jelaskan, SOSMA menghendaki orang yang ditahan perlu dituduh jika bukti mencukupi. Ini dinyatakan dengan sangat jelas di dalam Seksyen 12 SOSMA iaitu semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi," katanya.

Pada 20 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lepas yang menolak lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) itu.

-- BERNAMA