Skip to main content

Malaysia

KDN bincang dengan MoF segerakan kenaikan kadar elaun Rela

PUTRAJAYA, 18 Ogos -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bercakap pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kompleks Setia Perkasa hari ini.   Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Dr Awang Alik dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan).  --
Saifuddin berkata terdapat kira-kira 135,000 hingga 140,000 anggota Rela di seluruh negara, namun jumlah yang boleh dikerah untuk menjalankan tugasan pada satu-satu masa adalah sekitar 35,000 hingga 40,000 orang - Foto fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan agar kadar elaun upah baharu bagi setiap jam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) susulan kadar semasa yang didapati lebih rendah berbanding gaji minimum.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu akan dibincangkan lanjut dengan Kementerian Kewangan (MoF), dengan sasaran supaya kadar baharu dapat dilaksanakan pada tahun kewangan terdekat.

"Saya minta Datuk KSU (Ketua Setiausaha) dan  Puan Ainah Mohd Soon (Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) atau TKSU (Pengurusan)), khususnya menyusul perbincangan dengan MoF supaya memulakan dan jangan ambil masa yang terlalu panjang.

"Ia kemudian memuktamadkan kadar elaun upah baharu per jam bagi setiap anggota Rela yang kita tugaskan. Sebaik-baiknya (cadangan itu dilaksanakan) tahun kewangan yang terdekat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri September 2026, di sini, pada Isnin

Saifuddin menambah, cadangan itu penting kerana kadar elaun semasa tidak sepadan dengan tempoh masa anggota Rela menjalankan tugasan, khususnya apabila mereka bertugas sehingga lapan atau 12 jam sehari.

Beliau menjelaskan, dengan kadar gaji minimum RM1,700, pengiraan berdasarkan kadar semasa RM8 sejam menunjukkan anggota yang bertugas lapan jam sehari selama 24 hari hanya menerima RM1,536, iaitu masih di bawah paras gaji minimum.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat kira-kira 135,000 hingga 140,000 anggota Rela di seluruh negara, namun, jumlah yang boleh dikerah untuk menjalankan tugasan pada satu-satu masa adalah sekitar 35,000 hingga 40,000 orang.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian elaun kepada anggota Rela Siswa-Siswi (Relassis) di institusi pengajian tinggi pada kadar yang sama, seperti yang dinikmati pasukan sukarelawan beruniform berkaitan.

Ujarnya, perkara itu akan disegerakan berdasarkan peruntukan sedia ada dan dimasukkan dalam peruntukan tahun berikutnya tanpa melibatkan melibatkan implikasi kewangan tambahan.

"Rela sudah ada Relasis dan mereka ini wujud sejak 2017. Saya mengumumkan supaya satu elaun diberikan kepada Relasis di universiti-universiti ini pada kadar yang sama," jelas Saifuddin.

Beliau berkata, kebajikan anggota sukarelawan, termasuk Rela, merupakan antara keutamaan kementerian, selaras dengan peranan pasukan berkenaan dalam membantu aspek keselamatan masyarakat.

Saifuddin berkata, kementeriannya ketika ini turut menguruskan cadangan berkaitan kebajikan SUKSIS dan kadet APMM, termasuk usaha memasukkan inisiatif berkenaan dalam Akta Polis serta menetapkan kadar elaun yang munasabah.

 

Must Watch Video

Advertisement