Skip to main content

Malaysia

KDN perkukuh kawalan sempadan, dokumen perjalanan Israel tidak diiktiraf

81694084663_KDN.jpg
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara dengan memastikan semua aspek pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan dilaksanakan secara tegas tanpa kompromi.
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia tegas dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf  dokumen perjalanan dikeluarkan Israel bagi tujuan kemasukan ke negara ini, selaras dengan dasar Kerajaan MADANI yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara dengan memastikan semua aspek pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan dilaksanakan secara tegas tanpa kompromi.

“KDN mengambil maklum dan menyokong sepenuhnya pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel serta komitmen negara dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan memelihara kepentingan nasional,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kementerian itu, setiap permohonan kemasukan warga asing ke Malaysia akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan serta penilaian risiko yang menyeluruh.

Kenyataan itu memaklumkan, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing ke Malaysia berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963 [Akta 155], Akta Pasport 1966 [Akta 160], peraturan imigresen yang sedang berkuat kuasa serta penilaian keselamatan oleh agensi keselamatan negara. 

Menurut KDN, individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara, termasuk mereka yang tergolong sebagai imigran yang dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963, tidak dibenarkan memasuki Malaysia atau akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Menurut kementerian itu, pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar melibatkan urusan imigresen, malah merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan negara yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

KDN memaklumkan pendekatan itu mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan setiap keputusan berkaitan kemasukan warga asing mengambil kira aspek keselamatan nasional, kedaulatan negara, kepentingan awam serta pematuhan kepada undang-undang Malaysia.

Pada masa sama, KDN memaklumkan kementerian itu akan terus memperkukuh kawalan sempadan menerusi penggunaan teknologi, perkongsian risikan, pemprofilan risiko dan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat serta bebas daripada ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement