SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan penggunaan pistol renjatan elektrik kepada anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh tahap keselamatan ketika melaksanakan tugas di pintu masuk negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan dasar dipersetujui bagi menyediakan kemudahan persenjataan kepada AKPS, namun pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat dalam masa terdekat.
Menurut beliau, penggunaan peralatan seperti pistol renjatan elektrik dilihat sebagai langkah awal yang lebih bersesuaian, mengambil kira situasi di kawasan sempadan yang tidak semestinya memerlukan penggunaan senjata api.
"Terdapat pandangan supaya dimulakan dengan penggunaan taser gun (pistol renjatan elektrik) memandangkan situasi di sempadan mungkin tidak semuanya memerlukan penggunaan senjata api dan perkara ini akan diteliti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Selasa.
Saifuddin Nasution bagaimanapun menegaskan, hala tuju AKPS secara keseluruhannya adalah ke arah memperkukuh keupayaan keselamatan termasuk kemungkinan penggunaan senjata dalam kalangan anggota yang bertugas di kawasan berisiko tinggi.
"Adakah AKPS akan menuju ke arah menggunakan senjata? Jawapannya, ya. Dari segi keselamatan, khususnya bagi komander dan anggota di kawasan berisiko tinggi, keperluan itu memang ada dan akan dipertimbangkan," jelasnya.
Menurut beliau, anggota AKPS berdepan dengan pelbagai ancaman ketika mengawal sempadan negara dan tugas tersebut tidak boleh disamakan dengan perkhidmatan awam biasa.
"Risiko mereka (AKPS) tinggi kerana berdepan dengan pelbagai bentuk ancaman di pintu masuk negara.
"Mereka juga dilatih dari segi psikologi dan kemahiran sebagai pasukan keselamatan yang terlatih,” katanya lagi.
Tambah beliau, bagi anggota yang mempunyai latar belakang pasukan keselamatan seperti polis, kemahiran penggunaan senjata sememangnya sudah dimiliki dan usaha kini adalah untuk melengkapkan mereka dengan peralatan yang bersesuaian.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, AKPS dibenarkan merekrut sehingga 200 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah inisiatif Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) tahun ini bagi memperkukuh kawalan pintu masuk negara.
Katanya, pengambilan fasa pertama melibatkan 50 anggota telah selesai, manakala selebihnya akan menyusul dalam fasa seterusnya dengan mereka ditempatkan di beberapa pintu masuk utama termasuk KLIA dan Pelabuhan Klang.
"Di sini (KLIA Terminal 1) sahaja terdapat 18 orang anggota yang baru tamat latihan. Pengambilan kedua sedang dalam proses dan dijangka selesai tahun ini, Insya-Allah," katanya.