Skip to main content

Malaysia

KDN teliti pengurusan pintu masuk negara - Saifuddin Nasution

71759207687_tbSaifuddinNasution.jpg
Saifuddin Nasution berkata perbincangan telah diadakan bersama pegawai kementerian bagi meneliti prosedur sedia ada, sekali gus memastikan proses yang lebih lancar, cepat dan tersusun. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperhalus dan menambah baik pengurusan pintu masuk negara bagi memastikan urusan keluar masuk rakyat dan pelawat serta perdagangan berjalan lebih lancar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan telah diadakan bersama pegawai kementerian bagi meneliti prosedur sedia ada, sekali gus memastikan proses yang lebih lancar, cepat dan tersusun.

Advertisement

"Reformasi ini bukan perubahan drastik sehari dua, tetapi usaha berterusan. Kita teliti prosedur dan gunakan teknologi dengan lebih bijak semuanya demi memastikan pintu masuk negara kita benar-benar mencerminkan kesiapsiagaan dan profesionalisme," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Pada 28 Jan lepas, Saifuddin Nasution berkata Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan diperluas secara berperingkat dan berkuat kuasa di pintu masuk negara bermula awal suku kedua tahun ini.

Sistem NIISe adalah satu daripada inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan dan ia menggantikan sistem kod QR sedia ada bagi meningkatkan dan menaik taraf kecekapan sistem semakan keselamatan automatik di pintu masuk negara.

Sistem MyNIISe akan menggantikan MyIMMs yang telah digunakan lebih 20 tahun dan sistem lama itu tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan global, volum pergerakan tinggi dan memerlukan integrasi data masa kini.

-- BERNAMA

Must Watch Video