JOHOR BAHRU: Banjir di Johor semakin pulih apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor Bahru ditutup pada jam 7 malam Ahad.

PPS yang ditutup ialah Dewan Raya Gelang Patah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik.

Empat lagi PPS di negeri itu masih beroperasi dan menempatkan 193 mangsa daripada 58 keluarga.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan dua PPS itu sebelum ini menempatkan 21 mangsa daripada 7 keluarga.

Mereka dibenarkan pulang selepas air banjir di kediaman masing-masing surut sepenuhnya.

Katanya empat lagi PPS masih beroperasi iaitu dua di Pontian yang mencatat peningkatan mangsa, di Sekolah Agama (SA) Kayu Ara Pasong (70 mangsa daripada 22 keluarga) dan PPS Pusat Kokurikulum Sungai Tempayan (sembilan mangsa daripada tiga keluarga).

Manakala dua PPS di Batu Pahat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Peserai menempatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga serta Sekolah Agama (SA) Seri Bengkal yang menempatkan 84 mangsa daripada 25 keluarga.

Kawasan yang dinaiki air, antaranya Kampung Parit Sapran, Kampung Bintang Peserai, Parit Lapis Kayu Ara Pasong dan Kampung Seri Bengkal.