KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa kini menurun kepada 118 orang mangsa daripada 34 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini setakat jam 8 pagi ini.

Kesemua mangsa telah dipindahkan ke tiga PPS yang masih dibuka di dua daerah di Terengganu iaitu Dungun dan Kuala Nerus.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Dungun merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 112 mangsa daripada 33 keluarga sudah dipindahkan ke dua PPS yang telah diaktifkan.

"Mangsa banjir di daerah Kuala Nerus pula kini melibatkan satu keluarga terdiri daripada enam orang dan semua mereka ditempatkan di sebuah PPS yang diaktifkan di sana," kata kenyataan itu pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, dua PPS yang masih dibuka di Dungun ialah Dewan Masjid Serdang dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Pati.

Tambah kenyataan tersebut, PPS yang dibuka di Kuala Nerus ialah Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah.

Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan. - Sinar Harian