MELAKA: Kebajikan 46 pelajar asrama Sekolah Menengah Arab (JAIM) Al-Ehya El-Karim yang terjejas akibat ribut pada Rabu akan dipantau dan segala bantuan diperlukan akan disegerakan, kata Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin.

"Saya bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah turun padang untuk melawat dan melihat sendiri kerosakan yang dialami asrama sekolah tersebut.

"Memang agak teruk terjejas dan tidak boleh didiami. Untuk itu buat sementara waktu, kesemua 46 pelajar wanita tersebut dipindahkan ke dewan makan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSSNM) di Kompleks MUSA, Krubong di sini semalam.

Katanya kerja baik pulih dijangka mengambil masa kira-kira sebulan sebelum pelajar dibenarkan kembali ke asrama dan sepanjang tempoh itu, kebajikan pelajar tersebut akan diberi perhatian.

"Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Agama Islam (MAIM) telah menghantar bantuan awal seperti tilam, selimut dan bantal bagi kegunaan pelajar terjejas. Kita juga telah meminta MAIM menyegerakan proses baik pulih tersebut agar pelajaran pelajar ini tidak terganggu," katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira 9.40 pagi Rabu, sebanyak 58 rumah daripada 56 keluarga termasuk rumah yang dijadikan inap desa di empat kampung iaitu, Kampung Pasir Gembor, Kampung Air Hitam Darat, Kampung Air Hitam Pantai dan Kampung Balik Batu, sebuah masjid dan sekolah terjejas teruk susulan kejadian ribut itu.

Dalam perkembangan lain, Rais turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 oleh kerajaan negeri sebagai insentif pembangunan pasukan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSSNM).

Katanya peruntukan tersebut sebagai pemangkin pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi memandangkan ia telah berjaya menarik minat murid seawal tahun satu.

"Saya berharap ini bukanlah kali pertama atau terakhir pihak Jabatan Pendidikan menganjurkan kejohanan sedemikian, selepas dua tahun tiada kejohanan besar dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.

"Insya-Allah kerajaan Melaka sentiasa komited dalam merancakan pembangunan sukan memandangkan sukan adalah elemen yang sangat penting dalam memupuk perpaduan sesama masyarakat," katanya.

Kejohanan selama empat hari bermula 8 Ogos lepas melibatkan 113 sekolah rendah dan 57 sekolah menengah dari tujuh kawasan iaitu Merlimau, Jasin, Bukit Cina, Air Keroh, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Tanjung.

-- BERNAMA