IPOH: Mydin Mohamed Holdings Berhad menjangkakan kerugian akibat kebakaran di Pasar raya besar Mydin di Manjoi di sini, pada Ahad sekitar RM50 juta.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, jumlah berkenaan membabitkan nilai bangunan yang telah dibina sejak 2012 dan barangan namun, jumlah sebenar kerugian belum dapat dianggarkan.

"Matlamat pembukaan cawangan Mydin ini adalah untuk memudahkan penduduk kampung membeli barangan tanpa perlu bergerak jauh.

"Kita berasa sedihlah struktur bangunan dengan bumbung sudah tidak ada. Kosnya pula kita kena tunggu jawapan daripada bomba, jurutera, penyelaras kerugian dan sebagainya.

"Tetapi kita janji tidak akan tinggalkan Manjoi. Apa-apa yang terjadi... kalau kita kena pecahkan bangunan ini, kita akan bangunkan satu lagi bangunan untuk Kampung Manjoi. Insya-Allah bangunan, duit semua itu boleh cari," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Ameer turut memberi jaminan kepada 108 pekerjanya yang terjejas selepas premis itu ditutup sementara bermula Isnin.

"Mereka pun perlu mencari rezeki untuk Ramadan ini dan sebab itu kita hantar kesemua kakitangan kita ke cawangan Mydin berhampiran di Meru Raya yang tidak jauh dari sini. Mereka boleh pergi kerja di sana.

"Walaupun ia satu beban ada tambahan pekerja, ia tidak mengapa kerana mereka telah berkhidmat lebih 10 hingga 12 tahun dengan kita," katanya.

Tambah beliau, peniaga kiosk dan kakitangan juga diminta bersabar dan mendengar arahan pasukan penyelamat berikutan struktur bangunan yang sudah tidak selamat dimasuki.

"Kita faham ada hendak berniaga di musim perayaan tetapi barang niaga ada dalam (Mydin). Kalau boleh masuk ambil barang boleh berniaga di tempat lain. Keputusan itu bukan di tangan saya.

"Mereka ini banyak membantu membeli barang dengan kita. Keuntungan kita dapat daripada komuniti inilah. Kita akan cuba tengok apa yang boleh kita bantu peniaga-peniaga kecil ini," katanya.

Media melaporkan pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar pasar raya Mydin yang beroperasi di Lorong Pasar, Manjoi di sini pada Ahad.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7.09 petang melibatkan bilik suis utama di tingkat atas pasar raya itu.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan tingkat satu yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan selain berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis. - Sinar Harian