Susulan tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang mengorbankan 23 orang termasuk dua warden pagi semalam, beberapa individu tampil menawarkan pelbagai khidmat keselamatan percuma kepada sekolah tahfiz dan pusat amal di seluruh negara.

Konsultan keselamatan Muhammad Khairul Ruslan, 39, dari Mersing, Johor antara individu terawal yang berbuat demikian dengan menawarkan latihan keselamatan, kesihatan, pencegahan kebakaran kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim atau sekolah swasta yang dikelola secara persendirian, menerusi aplikasi WhatsApp.

Pengarah Urusan Khairuzita Resources Consultancy itu berkata beliau berasa terpanggil untuk berbuat selepas tersentuh dengan tragedi yang menimpa anak-anak tahfiz tersebut, lebih-lebih lagi seorang daripada tujuh anaknya juga belajar di sekolah tahfiz di Muar.

“Sebagai seorang konsultan yang berdaftar di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), saya biasa memberi taklimat keselamatan kepada pekerja asing di tapak pembinaan untuk memastikan persekitaran tempat bekerja mereka selamat.

"Namun selepas mendengar kejadian kebakaran di Keramat itu, saya terfikir mengapa saya sebagai konsultan mampu memberi taklimat kepada warga asing bagaimana untuk menyelamatkan diri, sedangkan saya tidak pernah berkongsi mengenai teknik keselamatan kepada anak saya yang menuntut di pusat tahfiz,” katanya ketika dihubungi Bernama.

BACA: Pusat tahfiz terbakar: Kerajaan negeri sedia tawarkan bantuan - MB Selangor

BACA: 'Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah belum dapat kelulusan bomba' - Noh Omar


Ikhlas menawarkan khidmat tersebut, Muhammad Khairul berkata beliau juga ingin memberikan kesedaran kepada pengusaha sekolah tahfiz dan pusat amal agar mengambil berat aspek keselamatan.

Katanya, perkhidmatan ditawarkan beliau itu melibatkan 10 sukarelawan lain yang akan memberi penerangan mengenai keselamatan, menjalankan latihan simulasi dan membuat penilaian audit sebelum memberi syor untuk meningkatkan keselamatan di pusat masing-masing.

“Selepas kita kenal pasti kelemahan yang terdapat di pusat tahfiz, kita akan mengesyorkan dari segi keperluan keselamatan yang perlu ada untuk memastikan tempat selamat dan sekiranya mereka tidak mampu untuk menyediakan keperluan seperti alat pemadam api akibat kekangan kewangan, kita akan bantu pula mendapatkan dana untuk mereka,” katanya.

Sejak WhatsApp mengenai khidmat percuma itu tular, 50 pusat tahfiz dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor menyatakan minat dengan tawaran berkenaan.

BACA: Kebakaran pusat tahfiz bukan kerana litar pintas - Bomba

BACA: Semua pusat tahfiz di kawasan Titiwangsa akan dipantau - Johari

BACA: 'Ini bukan tentang mati syahid, tapi isu kecuaian' - Abang Naz


Sementara itu, Datuk Ir. Zainurin Karman, 53, pula tampil menawarkan perkhidmatan melukis pelan struktur dan infrastruktur bangunan secara percuma kepada sekolah agama, maahad tahfiz, rumah anak yatim dan surau yang kekurangan bajet.

Pengerusi Institut Jurutera Malaysia cawangan Negeri Sembilan itu berkata beliau telah mengadakan perkhidmatan percuma tersebut sejak lima tahun lalu bagi meringankan beban organisasi yang memerlukan perkhidmatan membuat pelan yang menelan belanja besar.

“Saya memahami pusat-pusat tahfiz, badan amal mahupun surau ditubuhkan dengan niat untuk bekalan akhirat, namun akibat duit yang terhad ramai terpaksa mengabaikan proses keselamatan yang dituntut kerajaan dalam sesuatu pembinaan.

“Kos untuk membuat pelan ini sahaja menelan belanja antara RM15,000 hingga RM30,000 bergantung kepada keluasan tapak. Memang satu jumlah yang banyak sehingga ramai yang tidak mampu, sebab itu saya ambil inisiatif menawarkan khidmat secara percuma bagi infak ke jalan Allah tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata khidmat bantuan itu merangkumi proses mengukur tanah, melakar pelan dan mendapatkan kelulusan daripada majlis perbandaran dan syarikat ulitili yang berkaitan sebelum pembinaan dilaksanakan.

-- BERNAMA