MIRI: Operasi memadam kebakaran hutan di lereng bukit berhampiran Gua Niah, Taman Negara Niah diteruskan hari ini dengan bantuan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berikutan keadaan muka bumi yang sukar diakses.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan helikopter jenis MI-17 itu memulakan operasi pengeboman air pada 2.40 petang dengan menggunakan sumber air dari Sungai Niah.
Kenyataan itu memaklumkan kebakaran dipercayai berpunca daripada sambaran petir petang semalam menyebabkan pokok terbakar di dua lokasi iaitu lereng Bukit Traders Cave dan Kuala Hangus di Gua Besar.
"Kebakaran melibatkan kawasan seluas 1.618 hektar dan 0.809 hektar di kedua-dua lokasi berjaya dipadamkan manakala baki 0.809 hektar masih terbakar," katanya sambil menambah operasi itu ditangguh pada 4.20 petang dan akan disambung esok.
Operasi hari ini melibatkan 17 anggota JBPM dan sebuah jentera FRT, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah helikopter selain dibantu lima anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).
Menurut kenyataan itu, JBPM menerima panggilan kecemasan pada 2 petang semalam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah tiba di pejabat SFC di taman negara berkenaan tujuh minit kemudian.
Kenyataan itu memaklumkan pasukan tersebut terpaksa berjalan kaki sejauh hampir empat kilometer dari pejabat SFC untuk menghampiri lokasi kebakaran.
Bagaimanapun, pasukan itu tidak dapat menjalankan operasi pemadaman secara darat kerana lokasi kebakaran berada di puncak bukit batu kapur yang curam dan berbatu selain akses yang sukar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak turut memaklumkan bahawa atas faktor keselamatan, pasukan itu hanya menjalankan pemantauan dan berbincang dengan SFC untuk menutup sementara Taman Negara Niah kepada orang awam serta meningkatkan pemantauan di laluan denai menuju Traders Cave.
-- BERNAMA