Skip to main content
Advertisement

Hiburan

Selepas 24 tahun, Misha merai kerjaya dalam acuan sendiri

Selepas 24 tahun menyanyi, vokal Misha masih merdu, malah kini hadir dengan lebih banyak lapisan emosi dan penghayatan.
Selepas 24 tahun menyanyi, vokal Misha masih merdu, malah kini hadir dengan lebih banyak lapisan emosi dan penghayatan.

Advertisement

PETALING JAYA: Ada sesuatu yang sangat mengagumkan tentang Misha Omar yang mungkin tidak dimiliki ramai penyanyi lain.

Ia bukan semata-mata pada kekuatan vokalnya yang kekal utuh selepas lebih dua dekad. Bukan juga kerana deretan lagu malar segar yang terus menjadi siulan peminat. Sebaliknya, kekuatan terbesar Misha ialah kejujurannya terhadap diri sendiri.

Dalam sebuah industri yang sering mengukur kejayaan melalui angka penjualan tiket, saiz venue atau kemeriahan produksi, Misha memilih untuk melihat seni daripada sudut yang lebih jujur. 

Beliau memahami kemampuan dan kapasitinya sebagai seorang penghibur. 

Baginya, persembahan berskala sederhana sekalipun sudah cukup menjadi justifikasi kepada keupayaan vokal, kualiti muzik dan hubungan yang dibina bersama peminat selama ini.

Jika peluang hadir untuk beraksi di pentas yang lebih besar, ia tentu sesuatu yang diraikan. 

Namun bagi Misha, kejayaan tidak pernah diukur melalui saiz pentas semata-mata. 

Beliau sentiasa mengukur baju di badan sendiri, suatu sikap yang jarang dimiliki dalam dunia hiburan yang sering didorong persepsi dan ekspektasi.

Mungkin sebab itu juga perjalanan seninya mampu bertahan sehingga memasuki tahun ke-24.

Sebagai pemerhati yang mengikuti perkembangan Misha sejak kemunculannya pada awal era 2000-an, saya melihat transformasi yang dilalui penyanyi ini cukup menarik untuk diperhatikan. 

Pada fasa awal perjalanan seni, Misha tidak pernah menyembunyikan siapa tokoh yang menjadi sumber inspirasinya. 

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan Datuk Syafinaz Selamat merupakan nama-nama yang sering disebut sebagai idola yang membentuk cita rasa muzik dan pemikirannya sebagai penyanyi.

Seperti kebanyakan anak seni yang sedang mencari identiti, beliau juga pernah menyimpan hasrat untuk menjadi seperti mereka.

Namun masa mengajar satu hakikat yang penting.

Selepas 24 tahun berada dalam gelanggang seni, Misha akhirnya menemui sesuatu yang jauh lebih bernilai daripada menjadi seperti idolanya. 

Beliau menemui dirinya sendiri.

Beliau bertuah kerana berpeluang belajar daripada tokoh-tokoh yang dikaguminya, berkongsi pentas dan menimba pengalaman daripada mereka. 

Namun akhirnya, segala ilmu dan inspirasi itu tidak menjadikan Misha sebagai salinan kepada mana-mana legenda. Sebaliknya, pengalaman tersebut membentuk sebuah identiti yang tersendiri.

Hari ini, peminat hadir bukan kerana mahu melihat "Misha yang mirip Siti", "Misha yang menyerupai Sheila" atau "Misha yang menyanyi seperti Syafinaz".

Mereka hadir untuk melihat Misha Omar.

Dan itulah pencapaian paling besar yang boleh diraih oleh seorang penyanyi.

"Terima kasih kepada anda semua yang masih menyayangi saya. Saya amat terharu dan berbesar hati melhat wajah yang hadir dan kegembiraan pada wajah anda.

"Showcase ini tidak akan sukses tanpa sokongan anda semua. Izinkan saya berterima kasih untuk kesekian kalinya," ada bunyi sebak di hujung bicara Misha tempoh hari.

Perjalanan yang panjang juga memperlihatkan kematangan luar biasa dalam setiap aspek persembahannya. 

Vokal Misha masih merdu, malah kini hadir dengan lebih banyak lapisan emosi dan penghayatan. 

Setiap lagu yang disampaikan mempunyai berat atau 'weight' tersendiri, lahir daripada pengalaman hidup dan kematangan yang tidak boleh diajar menerusi kelas vokal semata-mata.

Lebih menarik, kematangan itu tidak menjadikan beliau jauh daripada peminat.

Sebaliknya, Misha hari ini tampil sebagai figura yang cukup mesra, santai dan mudah didekati. 

Cara beliau berkomunikasi di atas pentas memperlihatkan seorang penghibur yang memahami bahasa dan budaya generasi hari ini tanpa perlu memaksa dirinya menjadi orang lain. 

Beliau berbicara dengan santai, bersahaja dan tulus, menjadikan penonton berasa dekat dengannya.

Itulah kelebihan seorang artis yang sudah benar-benar selesa dengan dirinya sendiri.

Dalam konteks itu, Aku & Lelaki bukan sekadar sebuah showcase atau eksperimen tema. 

Persembahan ini sebenarnya merupakan terjemahan kepada kecintaan Misha terhadap seni dan penghormatan yang mendalam terhadap kerjaya yang dibinanya selama hampir suku abad.

Ada yang mungkin melihat pemilihan lagu-lagu penyanyi lelaki sebagai sesuatu yang luar biasa. 

Namun hakikatnya, konsep tersebut bukan lahir kerana beliau ketandusan katalog sendiri. 

Misha mempunyai deretan lagu hit yang cukup kuat untuk memenuhi sebuah konsert penuh.

Keberanian konsep itu terserlah menerusi pemilihan lagu yang mempunyai karakter dan cabaran tersendiri. 

Image
Sumber: ASTRO AWANI
Kata Misha untuk pementasan Aku & Lelaki beliau hanya 'mampu' membayar anak lelakimya, Muhammad Idriz Ezzwa sebagai artis undangan. Ternyata bakat besar Idriz diwarisi daripada ibunya.

Misha menyampaikan Lelaki Ini dan Keabadian Cinta yang cukup sinonim dengan Anuar Zain, selain menghidupkan semula emosi menerusi Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz Suip. 

Beliau turut memberi sentuhan tersendiri kepada Teh Hijau karya Tulus, sekali gus memperlihatkan versatiliti vokalnya merentasi genre dan generasi.

Antara segmen yang paling memikat ialah medley yang menggabungkan Sentuhan Listrikmu karya Datuk M. Nasir, Penghujung Rindu yang dipopularkan Datuk Jamal Abdillah serta Merisik Khabar nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. 

Banyak lagu lain termasuk karya beliau sendiri yang dipersembahkan dalam pementasan yang berlangsung selama dua jam itu.

Pemilihan lagu-lagu tersebut bukan sahaja membawa penonton mengimbau memori muzik yang merentasi zaman, malah memberi gambaran jelas tentang keluasan apresiasi Misha terhadap khazanah muzik Nusantara.

Lebih penting, pemilihan karya-karya ini membuktikan bahawa Aku & Lelaki bukan dibina atas keinginan untuk meninggalkan identiti sendiri. 

Sebaliknya, ia adalah penghormatan seorang penyanyi kepada penyanyi-penyanyi lelaki yang mewarnai landskap muzik yang turut membentuk dirinya sebagai anak seni. 

Misha tidak meminjam populariti lagu-lagu itu, sebaliknya memberi nafas baharu menerusi interpretasi yang kekal membawa identiti vokal dan emosi seorang Misha Omar.

Sebaliknya, Aku & Lelaki memperlihatkan keberanian seorang penyanyi untuk terus mencabar dirinya. 

Ia adalah ruang untuk menguji kredibiliti, meneroka dimensi baharu dalam interpretasi lagu dan pada masa sama menawarkan pengalaman berbeza kepada peminat yang telah mengikuti perjalanan seninya sejak sekian lama.

Konsep persembahan itu juga dibangunkan dengan cukup elegan. Tiada usaha berlebihan untuk mengejutkan penonton. Tiada percubaan mencipta sensasi yang tidak perlu. 

Yang ada hanyalah muzik, penghormatan terhadap karya dan keyakinan seorang penyanyi yang memahami kekuatannya.

Selepas 24 tahun, Misha Omar tidak lagi perlu menjadi orang lain untuk membuktikan nilai dirinya.

Beliau hanya perlu menjadi Misha Omar.

Dan barangkali di situlah terletaknya sebab mengapa namanya terus bertahan, terus dihormati dan terus disayangi peminat sehingga hari ini.

Image
Sumber: ASTRO AWANI
Persembahan Aku & Lelaki pada hujung minggu lalu adalah manifestasi kecintaan Misha Omar pada kerjaya nyanyiannya

Must Watch Video

Advertisement