NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Mangsa terima kereta pinjaman, mudahkan urusan

Amirudin menyerahkan kereta pinjaman disumbangkan oleh Chery kepada penduduk terjejas. - Gambar/ Astro AWANI
SUBANG JAYA: Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights hari ini menerima kereta yang dipinjamkan selama sebulan oleh syarikat automotif Chery Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Chery meminjamkan 50 kereta dengan 25 diserahkan hari ini, manakala selebihnya diserahkan pada Isnin hadapan.
Menurutnya, terdapat 112 individu yang menjadi mangsa insiden kebakaran paip gas pada Selasa lalu membuat permohonan pinjaman kenderaan setakat hari ini.
“Jumlah kereta yang ditawarkan Chery pada hari ini untuk 25 orang dan Isnin nanti akan tambah 25 kereta untuk peminjam yang ada dengan kontrak pinjaman mereka“Saya juga ucap terima kasih kepada Chery kerana menunaikan janjinya,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) di sini hari ini.
Tambahnya, selain Chery terdapat beberapa syarikat pemilik kenderaan turut memberi pinjaman kenderaan seperti Carsome (50), Carro (30), Gocar (20) dan Eon (62).
Menurut Amirudin lagi, Cherry turut memberi sumbangan sejumlah RM50,000 kepada pihak pengurusan Masjid Putra Heights yang telah membantu menguruskan mangsa kebakaran di PPS.
Turut hadir semasa acara tersebut Menteri Digital Gobind Singh Deo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze dan Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia Leo Chen.
Sementara itu, Nur Fazreen Azizan, 34, antara mangsa yang kehilangan sebuah kereta dan motosikal akibat kesan bahang kebakaran setinggi sepuluh tingkat itu bersyukur atas bantuan yang diberikan.
“Saya lega sebab ada kenderaan untuk bergerak, banyak urusan hendak dilakukan sebelum anak-anak memulakan persekolahan mereka,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami