NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: PM arah MB Selangor, Presiden Petronas selaras bantuan, usaha koordinasi

Perdana Menteri telah mengarahkan segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi terkait insiden kebakaran di Putra Heights diselaraskan secara langsung. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Insiden yang berlaku seperti di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini menuntut kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor industri, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, Pejabat Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi terkait insiden kebakaran di Putra Heights diselaraskan secara langsung.
Menurut kenyataan itu lagi, penyelarasan tersebut akan diketuai oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, serta pihak Petronas diketuai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
“Langkah ini bagi memastikan segala gerak kerja terkait pengurusan bantuan di lapangan dapat dibuat dengan teratur dan lebih berkesan.“YAB Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan dan dukungan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang sedang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada Selasa, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan berlaku kebakaran melibatkan saluran utama Petronas Gas Bhd (PGB) pada 8.10 pagi.
Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya dan menyebabkan kawah berkedalaman 9.8 meter, dengan keluasan kira-kira 21X24 meter terbentuk di lokasi kejadian.
Secara keseluruhannya kebakaran itu menjejaskan 1,254 orang daripada 308 keluarga, selain 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami