NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Sumbangan RM2,000 KPT beri kelegaan kepada penuntut IPT

Azlinda (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar IPT yang terlibat dalam kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PP) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights hari ini. -Bernama
SHAH ALAM: Sumbangan RM2,000 yang disalurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) memberi kelegaan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas.
Ringkasan AI
- Sumbangan RM2,000 dari KPT melalui Yayasan Perkasa Siswa membantu pelajar IPT yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
- Pelajar yang kehilangan peranti elektronik seperti tablet dan komputer riba akan menggunakan sumbangan untuk menggantikan atau membaiki peranti tersebut.
- Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi menyatakan 70 pelajar IPT telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan, dengan perbincangan sedang dijalankan untuk pemberian komputer riba.
"Insya-Allah duit itu sedikit sebanyak akan dimanfaatkan untuk menggantikan semula peranti elektronik saya... UiTM pun ada memberikan sedikit sumbangan... Ini memberikan sedikit kelegaan kepada kami selepas diuji dengan musibah," kata pelajar ijazah pengurusan sumber manusia yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baharu itu.
Sementara itu, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Adlyn Safiah Abu Samah, 20, bersama kakak dan abangnya yang masing-masing menuntut di UIAM dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut meluahkan rasa penghargaan di atas sumbangan itu.
Beliau berkata mereka amat komited untuk mengikuti pengajian seperti biasa, namun mungkin terpaksa menunda hasrat itu ekoran peranti elektronik seperti komputer riba dan buku-buku pengajian masih berada di kediaman yang kini tidak boleh dimasuki.
"Sumbangan ini akan digunakan untuk membaiki peranti elektronik kami seperti komputer riba jika rosak dan bakinya kami gunakan untuk meringankan beban mak dan ayah kami. Akibat insiden ini, kami sekeluarga mengalami kerugian yang banyak terutama selepas kereta keluarga dan motor abang saya turut rosak," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 70 pelajar IPT termasuk universiti awam dan swasta untuk diberikan sumbangan berkenaan.
"Sumbangan segera ini kita akan berikan secara wang tunai jika ada antara mereka yang hilang atau musnah kad bank dalam kejadian itu, dan selebihnya kita akan lakukan menerusi pindahan dalam talian," katanya.
Beliau berkata perbincangan bersama pihak Kementerian Digital juga sedang dijalankan bagi pemberian sumbangan membabitkan komputer riba kepada penuntut yang terkesan akibat kejadian itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami