IPOH: Kebakaran hutan melibatkan plot penyelidikan di Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) (SPF) Bidor berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 2.30 petang semalam, susulan tindakan pantas dan bersepadu pelbagai agensi berwajib.
FRIM memaklumkan pemantauan lanjut di sepanjang perimeter kawasan terjejas diteruskan hingga 5.30 petang, sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menamatkan operasi secara rasmi pada 5.50 petang hari sama.
“Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan bersama-sama Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM Dr Nor Hasnida Hassan dan Ketua Program Ladang Hutan Dr Rosdi Koter telah ke lokasi kejadian, pagi semalam.
“Mereka diberikan taklimat daripada pihak JBPM serta menjalankan pemeriksaan secara langsung terhadap plot penyelidikan terjejas,” menurut FRIM dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kebakaran di kawasan seluas 2.42 hektar bermula Isnin dilaporkan kepada pihaknya kira-kira 5.42 petang.
Menurut kenyataan itu, penilaian terhadap kesan kebakaran pada plot penyelidikan terjejas akan dibuat selaras dengan objektif penyelidikan, pengurusan hutan dan pemuliharaan agensi tersebut.
“Api mula dikesan oleh petugas SPF Bidor semasa rondaan rutin pada 4.56 petang Isnin (7 Sept) sebelum pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kira-kira 5.50 petang.
“Kebakaran bagaimanapun merebak ke kawasan bersebelahan pada 8.50 malam sebelum berjaya dikawal pada 10.50 malam, diikuti usaha pembendungan dan pemantauan hingga tengah malam bagi memastikan tiada kebakaran semula berlaku,” menurut kenyataan itu.
FRIM memaklumkan operasi pemadaman disambung semula pada 9 pagi semalam menggunakan jentera pengorek bagi menggali parit sekatan api sedalam satu meter di sepanjang perimeter, dengan kerjasama pelbagai agensi serta Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang mengendalikan pemantauan dron tambahan.
-- BERNAMA