IPOH: Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian kebakaran pasar raya Mydin di Manjoi pada 10 Mac lalu.

Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon berkata, siasatan dijalankan tidak menemui sebarang unsur pembakaran sengaja yang boleh dikaitkan dengan jenayah membakar.

"Ada beberapa sampel fizikal telah diambil dari lokasi kejadian bagi tujuan analisis, setakat ini tiada unsur jenayah daripada hasil siasatan itu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, bangunan berkenaan telah diserahkan kepada pengurusan Mydin Mohamed Holdings Berhad pada Khamis lalu selepas kerja-kerja kawalan dan pemantauan selesai sepenuhnya.

"Bomba tidak lagi menjalankan pemantauan di kawasan itu, bangunan telah diserahkan kepada (pihak) Mydin untuk tindakan susulan," katanya.

Bomba menerima laporan kejadian kebakaran itu pada jam 7.09 malam melibatkan bilik suis utama di tingkat atas pasar raya.

Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan tingkat satu yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan selain berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis. -Sinar Harian