NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: Projek berhampiran lokasi ada kelulusan - Datuk Bandar

Keadaan semasa di kawasan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang kini padam sepenuhnya ketika tinjauan setakat 12 tengah hari tadi. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Dakwaan projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa adalah tidak benar.
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim memaklumkan, projek itu bukan berada dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas namun telah diberikan kelulusan serta kebenaran merancang pada 2022.
“Projek tersebut telah melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK),” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Menurut beliau, kontraktor yang terlibat juga merupakan panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas.Dalam masa sama, Amirul Azizan, pihaknya tidak akan memberikan kenyataan rasmi berhubung projek berkenaan ketika ini.
Ini bagi memberi laluan siasatan dalaman dijalankan dijalankan oleh Petronas, polis dan pihak berkuasa berkaitan.
“Buat masa ini, apa yang tersebar di media sosial bukan kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek tersebut sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun mengalami sedikit kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa saya. Mungkin melibatkan faktor kewangan atau lain-lain, tetapi apa yang pasti, semua kelulusan telah diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Bagaimanapun, berdasarkan pemeriksaan, projek tersebut mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami