NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: Tiada jasad ditemukan di lokasi - Polis

Wan Azlan berkata, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memasuki rumah-rumah di lokasi kejadian sepanjang dua hari ini. - Gambar fail/Bernama
SUBANG JAYA: Polis mengesahkan tidak mengesan atau menemukan jasad di lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memasuki rumah-rumah di lokasi kejadian sepanjang dua hari ini.
Tindakan tersebut, katanya dilakukan jika terdapat kemungkinan mana-mana waris atau saudara-mara yang terperangkap dalam kebakaran tersebut.
“Setakat ini Alhamdulillah, usaha untuk mengesan jasad menunjukkan negatif. Maknanya, tiada menjumpai sebarang jasad atau mayat di tempat kejadian.“Unit Forensik juga telah menjalankan kerja-kerja untuk mendapatkan sampel-sampel tanah di tempat kejadian. Beberapa tempat kita ambil sampel tanah ini untuk melihat hasil kajian tanah tersebut,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada petang Rabu.
Katanya lagi, setakat petang Rabu, seramai 41 mangsa masih mendapatkan rawatan, dengan 30 berada di hospital Kementerian Kesihatan (KKM), manakala 11 lagi berada di hospital lain.
“Untuk tahap kecederaan mangsa, di zon merah hanya dua orang dan 39 lagi di zon kuning.
“Bagi zon hijau, kebanyakan daripada mereka telah pun dibenarkan keluar dari hospital,” jelasnya..
Dalam masa sama, Wan Azlan memaklumkan sebanyak 102 kenderaan milik penghuni yang masih berfungsi dibenarkan dibawa keluar bermula Khamis.
Sementara itu, katanya, sebanyak 66 laporan polis diterima setakat petang Rabu termasuk melibatkan kebakaran rumah, kerosakan kenderaan serta kecederaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami