NATIONAL
Kebakaran saluran gas dipadam sepenuhnya, 305 mangsa diselamatkan - Amirudin

Amirudin ketika diberi taklimat perkembangan terkini insiden di Pos Kawalan Tempat Kejadian petang tadi. -Facebook
KUALA LUMPUR: Kebakaran di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor berjaya dipadam sepenuhnya pukul 3.45 petang ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Ringkasan AI
- Kebakaran di Putra Heights berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3.45 petang, dengan 305 mangsa diselamatkan.
- Mangsa ditempatkan di PPS dan beberapa hospital, sementara dua kawasan perumahan ditutup dan dikategorikan sebagai kawasan larangan.
- 190 rumah, 148 kereta, dan 11 motosikal rosak dalam kejadian, dengan tiada kematian dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.
Beliau berkata mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan Pusat Perubatan Hospital Subang Jaya, Sunway Medical Centre, Hospital Serdang serta Hospital Putrajaya.
"Keutamaan pada masa sekarang adalah keselamatan penduduk. Dua kawasan perumahan terbabit seluas radius 290 meter akan ditutup dan dikategorikan sebagai kawasan larangan sehingga ia dipastikan selamat sebelum penduduk dibenarkan kembali ke rumah mereka," katanya menerusi hantaran itu.
Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam mengendalikan isu berkenaan demi kesejahteraan para penduduk.
Terdahulu, Amirudin tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian pada 4.20 petang dan bertemu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad.
Setakat pukul 3.40 petang ini, 190 unit rumah, 148 kereta serta 11 motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami