NIBONG TEBAL: Selepas tiga minggu terbakar, tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal, Pulau Pinang akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berkongsi khabar gembira di Facebooknya memaklumkan operasi pemadaman berjaya disempurnakan dengan kerjasama semua pihak.

Dalam hantarannya, Reezal Merican mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran terbabit.

"Alhamdulillah, misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya," katanya.

Pada Isnin, 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan.

BACA: 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung dipadamkan

Media sebelum ini melaporkan berlakunya kebakaran seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar di tapak pelupusan sampah terbesar di negeri itu pada 12 Januari lepas.

Ekoran kejadian itu, 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari.

BACA: Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, penduduk berhampiran mula berpindah

BACA: Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diisytihar kawasan bencana tahap satu - Polis

Kebakaran terbabit juga menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).