MALAYSIA
Kebocoran paip gas PGB terkawal, tidak jejaskan kesihatan

Nor Hisham berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah strategik bagi mengawal insiden itu. - Gambar Sinar Harian
MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan insiden kebocoran paip gas Petronas Gas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kerteh terkawal dan tidak menjejaskan kesihatan orang awam.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah strategik bagi mengawal insiden itu termasuk penutupan laluan awam ke kawasan berkenaan, selain menghentikan semua kerja pembinaan bagi mengelakkan sebarang percikan api.
"Hanya Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM dibenarkan berada dalam zon merah insiden manakala semua responden lain yang masuk ke kawasan itu diingatkan supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan percikan api," katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di sini pada Sabtu.
Nor Hisham berkata JBPM bersama pihak Petronas kini memberi tumpuan kepada usaha meleraikan butana dalam udara (awan gas) yang terbentuk menggunakan kaedah semburan air halus untuk membolehkan ia dicairkan dan dibiarkan mengalir.Beliau berkata sebanyak 10 anggota pasukan Hazmat ditempatkan di lokasi bagi mengenal pasti kawasan berbahaya untuk memastikan operasi berjalan lancar.
"Insya-Allah, jika tiada halangan pada malam ini, kami akan mula masuk ke kawasan untuk melaksanakan proses pencairan pada radius 500 meter supaya kami dapat bergerak lebih dekat.
"Ini bagi membolehkan proses pembersihan serta mengeluarkan keseluruhan gas butana dalam paip dapat dilaksanakan sebelum tindakan lanjut oleh pihak operator iaitu Petronas," katanya.
Dalam pada itu, Nor Hisham menegaskan insiden berkenaan tidak memberi kesan kesihatan kepada penduduk setempat kerana jaraknya jauh daripada kawasan awam, namun gas butana amat mudah terbakar sekiranya bercampur dengan udara dalam kepekatan tertentu.
Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas PGB di Tapak ECRL, Seksyen 5, Kerteh di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas butana dalam bentuk gas mudah terbakar.
Beliau berkata lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer daripada jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami