PUTRAJAYA: Kecuaian kontraktor projek parkir bertingkat dikenal pasti sebagai punca insiden kren binaan tumbang atas landasan kereta api di Kilometer (KM) 355.749 antara Rawang dan Kuang pada 12 Disember lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain gangguan perkhidmatan, ia turut mengakibatkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerugian RM2,425,472,70 termasuk kos menyediakan bas untuk mengalihkan penumpang selain kehilangan hasil perkhidmatan kargo.

Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati kontraktor memasuki kawasan larangan berhampiran landasan terbabit.

"Mereka masuk ke kawasan zon bahaya iaitu kawasan yang tidak dibenarkan, bersebelahan landasan, tiada zon penampan langsung,

"Saya anggap insiden ini sangat serius dan saya juga sudah membentangkannya pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Susulan kejadian itu, Anthony memberitahu pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan notis Pemberitahuan Larangan Serta-merta kepada kontraktor.

Menurut beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 128(1)(a) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) bagi mengambil tindakan sewajarnya berhubung insiden berkenaan.

"Kren tersebut jatuh betul-betul atas landasan kereta api. Negara amat bernasib baik kerana tiada kereta api yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.

"Ini life and death, soal nyawa manusia. Bayangkan jika pada hari kejadian... kren terbabit tumbang ketika kereta api melalui kawasan terbabit, sudah tentu ia akan menjadi tragedi kepada negara," katanya.

Justeru, beliau memberi amaran kepada kontraktor supaya tidak memandang remeh isu keselamatan.

"Jadi saya berharap kejadian seperti ini tidak lagi berlaku sama sekali dan ini juga satu peringatan kepada semua kontraktor supaya tidak pandang remeh isu keselamatan terutama di kawasan landasan kereta api," jelasnya.

Pada 12 Disember 2023, perkhidmatan tren KTMB Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan perjalanan disebabkan kren yang digunakan untuk pembinaan projek parkir bertingkat Perbadanan Aset Keretapi (RAC) tumbang di atas landasan kereta api di antara Rawang dan Kuang pada kira-kira pukul 5.53 petang.

Ekoran insiden itu, Anthony berkata, KTMB menghadapi banyak kesulitan kerana ia mengganggu operasi tren yang melibatkan lebih 20,000 penumpang ETS dan komuter.