Kerajaan negeri Kedah menyatakan kesediaan untuk menerima kehadiran pelancong dari luar negeri itu susulan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan aktiviti pelancongan dalam negara bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula esok.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan inisiatif yang diputuskan kerajaan Persekutuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan pemain industri yang terkesan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerak (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, beliau berharap agar setiap arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat dipatuhi semua pihak dalam mencegah penularan COVID-19.

"Semua SOP yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan kita akan patuhi, kita akan ikut terutama berkenaan dengan pelancong yang akan masuk ke Langkawi.

"Alhamdulillah dengan kehadiran pelancong, kita yakin SOP yang ditetapkan akan membantu sektor pelancongan untuk kembali meriah macam dulu," kata Muhammad Sanusi.

Beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai permulaan positif bagi industri pelancongan untuk bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan impak pandemik COVID-19.

"Ya, kita bersedia, fasiliti semua dah ada, cuma kita hold sekejap sekarang ni. Dah nak hidup balik, kita syukur kepada Allah SWT di atas rezeki yang mendatang," katanya lagi.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Cabutan Kerja Undi bagi Projek Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri di Wisma Darul Aman pada Selasa.