KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang disifatkan sebagai tokoh perubatan dan pemimpin masyarakat yang banyak berjasa kepada Malaysia.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Amerika Syarikat berkata Allahyarham merupakan seorang doktor perintis yang mendedikasikan seluruh hidupnya kepada bidang kesihatan awam, kebajikan keluarga dan khidmat kepada rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan itu, sumbangan Allahyarham dalam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat telah meninggalkan kesan yang besar dan akan terus dikenang.
"Beliau merupakan seorang doktor perintis yang mengabdikan hidupnya kepada kesihatan awam, kebajikan keluarga dan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.
Kedutaan Amerika Syarikat turut merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Mereka juga menzahirkan simpati kepada rakyat Malaysia yang turut meratapi pemergian tokoh berkenaan.
"Kami menghulurkan ucapan takziah yang tulus kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, keluarga beliau serta seluruh rakyat Malaysia yang berdukacita atas kehilangan ini," menurut kenyataan itu.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan dikenang sebagai antara doktor wanita Melayu terawal negara yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan, kebajikan serta pembangunan masyarakat.