KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Beirut kekal komited untuk menyokong serta memelihara kepentingan dan kebajikan anggota pengaman Malaysia sepanjang tempoh penugasan mereka di Lubnan.
Kedutaan berkenaan memaklumkan bahawa perkara itu ditegaskan semasa kunjungan hormat Komander Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13, Kolonel Mohd Rizal Mohd Ali ke atas Duta Besar Malaysia ke Lubnan dilantik Anwar Udzir pada Khamis.
"Kunjungan hormat itu memberi peluang kepada Komander untuk menyampaikan perkembangan terkini mengenai penyertaan Malaysia dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), termasuk peranan dan tanggungjawab Malbatt 850-13 bukan sahaja dalam menyokong keamanan dan kestabilan di selatan Lubnan, malah menyokong komuniti tempatan di kawasan terjejas," menurut hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkatanya pertemuan itu turut membuktikan kerjasama erat antara pihak kedutaan dengan anggota pengaman Malaysia yang berkhidmat di bawah misi UNIFIL.
Malbatt 850-13 kini dianggotai 532 anggota Malaysia yang berkhidmat bersama UNIFIL sekali gus menyumbang kepada usaha menjaga keamanan antarabangsa di Lubnan.
-- BERNAMA