KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Addis Ababa menerima kunjungan hormat delegasi peringkat tinggi Ethiopia pada Selasa, mencerminkan perkembangan positif dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara menjelang Enkutatash, Tahun Baharu Ethiopia.
Kedutaan itu dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan delegasi berkenaan terdiri daripada wakil pelbagai kementerian Ethiopia termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan serta Kementerian Kebudayaan dan Sukan, selain Agensi Berita Ethiopia.
Mewakili Kementerian Luar Ethiopia, Duta Besar Amha Hailegeorgis menyampaikan ucapan Tahun Baharu daripada kerajaan Ethiopia kepada perwakilan Malaysia.
“Kunjungan ini mencerminkan sikap saling menghormati yang terus menjadi asas hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.
Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia Mohd Afandi Abu Bakar mengucapkan terima kasih kepada delegasi itu atas kunjungan berkenaan serta menyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Ethiopia 2019 yang aman dan makmur kepada rakyat Ethiopia di dalam dan luar negara.
Beliau menyifatkan kunjungan itu sebagai mencerminkan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara sepanjang tahun lepas.
Menurut kenyataan itu, kunjungan hormat berkenaan turut menampilkan pertukaran tradisi kebudayaan. Delegasi Ethiopia mempersembahkan nyanyian Abebayehosh dan paluan gendang kebero serta membawa bunga Adey Abeba berwarna kuning, manakala para penghibur mengenakan pakaian tradisional Habesha kemis.
Sebagai balasan, pihak kedutaan mengadakan upacara minum kopi tradisional Ethiopia dan menyajikan anababero yang baru disediakan, selain juadah Malaysia termasuk kuih kasturi dan pulut kuning serunding.
Warna kuning pulut kuning dipilih bagi menyerlahkan persamaan dengan bunga Adey Abeba, selaras dengan tema pembaharuan sempena Tahun Baharu itu, menurut kenyataan berkenaan.
08/09: The Embassy of Malaysia in Addis Ababa was pleased to welcome a joint delegation from the Ethiopian Government for a special pre-New Year courtesy visit ahead of Enkutatash, the Ethiopian New Year. pic.twitter.com/gG5fHc2Gmy
— MYEMBAddisAbaba (@MYEMBAddisAbaba) September 8, 2026
Kenyataan itu memaklumkan kunjungan berkenaan berlangsung hampir genap setahun selepas pasukan diplomatik pertama Malaysia tiba di Addis Ababa untuk membuka semula kedutaan, sekali gus menandakan setahun hubungan dua hala yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.
Enkutatash, Tahun Baharu Ethiopia, disambut pada 11 Sept mengikut kalendar Ethiopia yang mempunyai 13 bulan dan kira-kira tujuh hingga lapan tahun di belakang kalendar Gregorian.
Sambutan tahun ini menandakan bermulanya tahun 2019 dalam kalendar Ethiopia.
-- BERNAMA