KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menegaskan bahawa keganasan terhadap petugas barisan hadapan merupakan ancaman keselamatan pekerjaan yang perlu diberikan perhatian.
Presiden MSOSH Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata risiko ancaman terhadap keselamatan diri petugas barisan hadapan wajar dilihat bukan sahaja dari sudut jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, malah turut merangkumi perspektif keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Beliau berkata dalam konteks KKP, keganasan di tempat kerja boleh merangkumi ugutan, ancaman dan serangan fizikal yang berlaku ketika seseorang melaksanakan tugas termasuk oleh pihak luar.
“Risiko ini bukan terhad kepada pejabat atau kawasan industri. Anggota penguat kuasa, pasukan penyelamat, petugas kesihatan dan pekerja yang berurusan secara langsung dengan orang awam juga boleh terdedah kepadanya.
“Kita lazimnya mengaitkan KKP dengan mesin, bahan kimia dan bahaya di tapak pembinaan. Namun, tindakan agresif manusia juga merupakan ancaman yang perlu dikenal pasti, dinilai dan dikawal mengikut kesesuaian tugas serta keadaan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Fakhrul Anuar berkata penilaian risiko keganasan perlu diberi perhatian dalam perancangan tugas, khususnya operasi yang melibatkan interaksi dengan orang awam atau situasi tidak menentu.
Beliau berkata MSOSH berpandangan bahawa risiko keganasan terhadap pekerja khususnya petugas barisan hadapan, wajar terus diberikan perhatian dalam pembangunan dasar, strategi dan program KKP di peringkat nasional, termasuk dalam perbincangan berkaitan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2030 (OSHMP 2030).
“Perkongsian amalan baik dan pembangunan kompetensi boleh membantu organisasi memperkukuh langkah pencegahan. MSOSH menghormati profesionalisme dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan dan kecemasan yang sering berdepan situasi berisiko tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MSOSH turut merakamkan simpati kepada seorang anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, Rabu lepas.
“Bagi pihak MSOSH, saya merakamkan simpati kepada anggota dan petugas yang tercedera serta keluarga mereka. Semoga semua yang terlibat diberikan kesembuhan dan dipermudahkan urusan pemulihan,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembedahan untuk menyambung semula pergelangan tangan kanan anggota polis berkenaan berjaya dilaksanakan.
Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata anggota polis tersebut perlu menerima sokongan pemulihan sepenuhnya bagi membantu proses penyembuhan.
“Selain rawatan perubatan, penting untuk anggota polis itu menerima pemulihan komprehensif termasuk terapi fizikal dan pekerjaan untuk memaksimumkan pemulihan fungsi tangan serta membantunya memperoleh semula keupayaan menjalankan tugas secara selamat, tertakluk kepada penilaian perubatan,” katanya.
Lee berkata insiden itu menjadi peringatan bahawa keselamatan serta kesihatan polis tidak boleh dipandang remeh dan pegawai serta anggota perlu sentiasa berwaspada apabila berhadapan dengan individu yang berpotensi bertindak ganas.
Selain itu beliau juga menekankan keperluan latihan yang mencukupi, peralatan perlindungan dan prosedur keselamatan operasi untuk pasukan polis.
“Lebih penting, trend tingkah laku ganas yang semakin meningkat dalam masyarakat menjadi kebimbangan serius. Serangan melibatkan senjata dan sikap agresif melampau tidak boleh dibiarkan menjadi perkara biasa,” katanya.
Lee turut menggesa penguatkuasaan yang tegas, langkah pencegahan berkesan dan kesedaran awam yang lebih tinggi bagi menangani masalah itu selain menambah keselamatan anggota polis serta masyarakat secara amnya mestilah kekal menjadi keutamaan negara.
-- BERNAMA