Skip to main content

Malaysia

Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi meninggal dunia

Allahyarham yang dilahirkan pada 9 Januari 1961 pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam politik dan pentadbiran negara termasuk Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pentadbiran kerajaan PN dan BN. - Gambar Astro AWANI
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 Januari 1961 pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam politik dan pentadbiran negara termasuk Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pentadbiran kerajaan PN dan BN. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

BAYAN LEPAS: Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilaporkan telah meninggal dunia pada petang Jumaat.

Perkara itu disahkan adik Allahyarham, Zafruddin Zainul Abidin ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurut Zafruddin, Allahyarham abangnya dikhabarkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang, Jumaat.

Advertisement

"Sebenarnya saya pun tak berapa pasti jam berapa arwah meninggal (dunia) tetapi yang saya dapat maklumat daripada kawan, arwah meninggal petang tadi.

"Saya tidak ada maklumat lebih kerana baru tiba dari China," katanya.

Advertisement

Tambah Zafruddin, beliau mendapat berita mengenai keadaan kesihatan Allahyarham abangnya merosot sejak Rabu lalu.

"Yang saya tahu, kesihatannya merosot sejak Rabu dan ketika itu, dia dirawat di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. Itu saja yang saya tahu.

"Dalam pengetahuan saya, arwah abang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis," katanya lagi.

Sementara itu, difahamkan jenazah Allahyarham Zahidi telah disolatkan selepas Isyak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bayan Lepas.

Allahyarham yang dilahirkan pada 9 Januari 1961 pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam politik dan pentadbiran negara termasuk Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau memegang jawatan berkenaan daripada Mac 2020 hingga November 2022, ketika negara melalui dua pentadbiran kerajaan berbeza di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Allahyarham turut pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) daripada September 2015 hingga Disember 2018.

Dalam arena politik negeri Perlis, Allahyarham pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada 1999 hingga 2006 ketika pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal daripada 2013 hingga 2022 serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri daripada 1999 hingga 2008.

Beliau yang pernah menjadi ahli UMNO sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM).

Untuk rekod, nama Allahyarham Zahidi digugurkan sebagai calon BN pada PRU15 untuk kerusi Parlimen Padang Besar dan beliau tewas selepas bertanding atas tiket sebagai calon Bebas dalam saingan lima penjuru membabitkan Datuk Zahida Zarik Khan (BN), Ko Chu Liang (Warisan), Datuk Rushdan Rusmi (PN-PAS) dan Mohamad Saad @ Yahya (PH-Amanah). - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement