Kerajaan Negeri Perak mahu pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi membendung kegilaan anak muda hari ini yang melakukan aksi-aksi berbahaya tanpa kebenaran di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ahmad Puhat Mat Nayan berkata, aktiviti itu yang seakan-akan menjadi ‘trend’ golongan muda perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan diri sendiri tetapi juga orang awam.

Menurutnya kerajaan tidak mengalu-alukan sebarang inisiatif oleh mana-mana anak-anak muda yang mahu mencari publisiti dengan melakukan aksi-aksi berbahaya, memuat naik rakaman dan dikongsikan di laman-laman sosial.

"Publisiti dengan cara demikian tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada negeri mahupun masyarakat," katanya.

Ahmad Puhad mengulas video terbaharu yang viral menampilkan aksi berani seorang remaja lelaki memanjat kren setinggi 30 kaki di satu tapak pembinaan di Jalan Boungainvillea bersebelahan dengan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, perbuatan remaja itu boleh menyebabkan malapetaka yang tidak diduga sekiranya struktur ‘scaffolding’ itu jatuh menimpa orang awam di kawasan itu.

"MBI telah diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengurus tapak projek yang cuai sehingga membiarkan tapak pembinaan itu diceroboh.

“Menjadi tanggungjawab pengurus projek untuk pastikan tapak binaan mereka tidak dicerobohi,” katanya merujuk kepada klip video berdurasi 1.22 minit yang bertajuk 'Viral aksi berani remaja lelaki pula panjat kren' dimuat naik pengguna "Viral Malaysia" pada 31 Disember lalu.

BACA: Video viral pemuda panjat kren

Dalam video berkenaan, remaja tersebut merakamkan dirinya sendiri sambil memanjat kren.

Sebaik sahaja sampai tiba di puncak, remaja tersebut duduk dan terus merakamkan dirinya sendiri dengan berlatarbelakangkan kawasan Greentown.

Mengulas lanjut, beliau berkata gologan anak muda yang meminati aktiviti ekstrim mempunyai pelbagai cara yang lebih sihat dengan menyertai program-program yang dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Katanya antara program yang dianjurkan jabatan adalah memanjat gunung dan sukan permotoran.