SINGAPURA: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperluas manfaat zakat kepada golongan yang memerlukan, termasuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Inisiatif itu dizahirkan menerusi penyerahan sumbangan bantuan Ibnu Sabil berjumlah RM5,000 di Singapura, yang disempurnakan secara simbolik oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menurut MAIPs, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan institusi itu untuk memastikan manfaat zakat dapat disalurkan kepada golongan memerlukan menerusi pendekatan kebajikan yang lebih tersusun dan bersifat rentas sempadan.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Ismail Mohamad Bkri berkata, hubungan Malaysia dan Singapura kekal teguh berlandaskan prinsip saling menghormati, persefahaman serta kepentingan bersama.
Beliau berkata, hubungan dua hala itu terus diperkukuh menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, termasuk isu berkepentingan bersama seperti sempadan, pengangkutan dan keselamatan serantau.
Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura turut memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan kedua-dua negara diurus secara tersusun dan profesional, selain memberi keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Malaysia di negara berkenaan.
Ia termasuk urusan konsular dan imigresen, selain bantuan serta nasihat kepada warganegara Malaysia yang berdepan kecemasan atau situasi luar jangka.
Rakyat Malaysia di Singapura pada masa sama digalakkan mendapatkan maklumat terkini menerusi laman sesawang rasmi serta saluran media sosial Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bagi memastikan urusan mereka dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurut MAIPs, hubungan antara rakyat Malaysia dan Singapura juga semakin kukuh menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program komuniti yang dianjurkan persatuan Malaysia, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di republik berkenaan.
Hubungan ekonomi kedua-dua negara turut diperkukuh oleh jaringan rakyat yang aktif, khususnya ribuan pekerja harian yang berulang-alik antara Johor dan Singapura.
Keadaan itu menjadikan hubungan Malaysia-Singapura bukan sekadar hubungan rasmi antara dua negara, malah turut berakar umbi dalam kehidupan seharian masyarakat kedua-dua negara.
MAIPs berkata, inisiatif bantuan Ibnu Sabil itu turut membuktikan komitmen berterusan dalam menjadikan zakat sebagai instrumen kebajikan yang dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa.
Pendekatan berkenaan juga melengkapi peranan beberapa perwakilan Malaysia terpilih di luar negara sebagai barisan hadapan dalam membantu menjaga kebajikan rakyat Malaysia di perantauan.
Dalam pada itu, warganegara Malaysia di Singapura diingatkan supaya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang tempatan serta segera menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia sekiranya memerlukan bantuan dan nasihat konsular.
Berangkat sama pada kunjungan itu ialah anakanda-anakanda Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir, Setiausaha Kedua (Pentadbiran) Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Safrizan Abdul Karim.
MAIPs berkata, usaha memperluas manfaat zakat ke luar sempadan negara mencerminkan komitmen memastikan fungsi zakat terus berkembang selaras dengan keperluan masyarakat, termasuk dalam situasi yang memerlukan sokongan dan bantuan di luar negara.