Skip to main content

Malaysia

KPWKM teliti lebih 100 cadangan NGO, kumpulan sasar bagi Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi dialog bersama wakil-wakil NGO pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying (kiri).  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nancy ketika sesi dialog bersama wakil-wakil NGO pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di WTCKL hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti lebih 100 cadangan yang dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sasar sebagai input bagi penyediaan Belanjawan 2027.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya akan meneroka pelbagai pendekatan yang berkesan dan kreatif bagi membantu NGO, khususnya pertubuhan yang  tidak menerima geran secara langsung daripada kerajaan.

“Perkara yang mereka cadangkan sebenarnya juga menjadi cadangan kita (KPWKM), dengan harapan kita dapat bantu. Jadi, kita berusaha mencari jalan kerana kita faham peranan mereka melibatkan kemasyarakatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus Belanjawan 2027 KPWKM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM Mohd Daud Mohd Arif.

Nancy berkata antara perkara yang diberi tumpuan dalam penyediaan Belanjawan 2027 adalah aspek kebajikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengendalikan pelbagai bantuan termasuk perancangan bagi memperkasakan kapasiti penjaga.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang kita tumpu antaranya aspek penjagaan. Kita mahu memperkukuh dan mempergiatkan latihan supaya mereka yang dilatih dapat menjadi penjaga profesional terutama melatih kanak-kanak, tanpa ambil kira umur penjaga, yang penting penjaga tahu cara mengendalikan,” katanya.

Beliau berkata KPWKM turut menumpukan kepada agenda berkaitan wanita, warga emas dan gelandangan termasuk usaha memperkukuh perundangan berkaitan golongan itu.

“Dari aspek perundangan kita juga ada undang-undang yang masih belum diluluskan iaitu melibatkan warga emas dan gelandangan..itu yang akan datang dan tumpuan kita meliputi keseluruhan aspek,” katanya.

Beliau berkata sejak dua tahun lepas kerajaan sentiasa memberi pertimbangan sewajarnya terhadap keperluan KPWKM, namun setiap permohonan perlu diteliti secara menyeluruh kerana penyediaan Belanjawan 2027 turut mengambil kira keperluan kementerian lain.

Dalam pada itu, mengulas cadangan pelaksanaan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam politik, Nancy berkata perkara itu memerlukan persetujuan pimpinan tertinggi kalangan parti politik terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya telah menulis surat kepada kerajaan mengenai perkara itu, tetapi kerana melibatkan parti politik, perkara itu tidak dapat dijawab oleh Perdana Menteri. Jadi itu semua terpulang kepada presiden parti. Buat masa ini belum ada keputusan tapi saya akan usul kepada PM sekali lagi,” katanya. 

Lebih 100 wakil kumpulan sasar dan NGO hadir pada sesi libat urus itu, yang antara lain mengemukakan cadangan Belanjawan 2027 bagi memperkasakan aspek kebajikan warga emas, wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta sektor penjagaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement