BUKIT KAYU HITAM: Kehadiran kenderaan asing mengisi diesel di stesen minyak berhampiran pintu sempadan negara di sini dilihat berkurang dengan ketara sejak penyasaran subsidi bahan api itu diumumkan 10 Jun lepas.
Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak yang terletak berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati tidak banyak kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mengisi diesel di stesen berkenaan.
Walaupun keadaan itu mungkin menyebabkan jualan menurun, beberapa pengusaha dan pekerja stesen minyak terbabit menyatakan kelegaan kerana ia dilihat dapat mengekang sebarang aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel.
Pengusaha sebuah stesen minyak di Changlun, kira-kira lapan kilometer dari Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Mohamad Nekmat Ariffin, 41, berkata kehadiran kenderaan asing di stesen minyaknya menurun selepas kerajaan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter.
Bagaimanapun, dia berkata keadaan itu tidak memberi kesan kepada perniagaannya kerana 80 peratus jualan diesel dikhususkan kepada syarikat logistik yang telah menjadi pelanggan tetap bagi mendapatkan sumber bahan api itu.
"Hanya 20 peratus sahaja kuota diesel kami dijual kepada kenderaan persendirian atau komersial lain, termasuk kenderaan asing yang memang dihadkan sebanyak 20 liter sahaja bagi setiap belian.
"Dulu memang banyak kenderaan asing jenis pacuan empat roda isi diesel di sini tetapi sekarang hanya kenderaan penumpang seperti van sahaja, kehadiran mereka berkurang dengan ketara," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad Nekmat yang mengusahakan stesen minyak berusia 35 tahun peninggalan arwah bapanya itu, turut merasakan kewajaran penyasaran subsidi diesel dilakukan bagi mengekang penyelewengan bahan api itu.
"Kadang-kadang kenderaan asing atau pihak yang ingin seludup diesel akan mengisi minyak di beberapa stesen tapi kita tak tahu pergerakan mereka atau berapa kali telah isi diesel. Jadi, bila penyasaran subsidi dilaksanakan harap tak ada lagi yang cuba seludup diesel," katanya.
Dalam pada itu, dia mengakui berlaku penurunan jualan diesel di stesen minyaknya, namun ia disebabkan oleh peralihan syarikat logistik ke stesen minyak lain dan ada syarikat yang menangguh perjalanan kenderaan mereka sementara menunggu 'Fleet Card Diesel' untuk mendapatkan subsidi bahan api itu.
Pekerja sebuah stesen minyak di Lebuhraya Bukit Kayu Hitam-Jitra, Muhammad Irfan Kamarulan, 22, pula berkata jumlah kenderaan asing yang mengisi diesel di stesen minyak itu berkurang hingga lebih 50 peratus selepas penguatkuasaan harga baharu itu.
"Kami menjual dua jenis diesel iaitu Euro 5 B10 dan Euro 5 B7. Dulu jualan bagi B10 dalam sehari kira-kira 8,000 liter tapi sekarang menurun kepada 5,000 ke 6,000 liter.
"Antara sebab penurunan ini ialah kenderaan asing semakin kurang isi minyak di sini, begitu juga bagi kenderaan tempatan yang berkurang mungkin sebab mereka sedang mohon Fleet Card Diesel," katanya.
Menurut Muhammad Irfan sebelum ini dia juga kerap mengesan pengisian diesel berulang oleh kenderaan yang sama dalam sehari yang berkemungkinan berkaitan dengan aktiviti penyeludupan bahan api itu.
Justeru, katanya bagi mengekang penyelewengan diesel pihak pengurusan stesen minyaknya telah mengehadkan pembelian diesel oleh kenderaan asing sebanyak RM30 sahaja walaupun had maksimum yang dibenarkan adalah 20 liter.
"Kadang-kadang ada kenderaan isi diesel berulang sampai tiga kali dalam sehari tapi kita tidak pasti sama ada mereka pengguna biasa atau nak seleweng, jadi kita hadkan pembelian diesel kepada RM30 untuk sekali isi bagi kenderaan asing dan kalau kenderaan sama datang lagi kita turunkan had pembelian diesel kepada RM20.
"Jarak stesen minyak ini dengan sempadan kira-kira tiga kilometer sahaja, jadi kami rasa tak perlu jual banyak kepada kenderaan asing," katanya yang turut menyokong langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel itu.
Sementara itu, pengurus sebuah stesen minyak di Napoh kira-kira 18 kilometer dari pintu sempadan negara, Brian Yuen, 50, berkata jualan diesel di stesen minyaknya berkurang hingga kira-kira 50 peratus selepas penyasaran subsidi bahan api itu.
"Memang ada sedikit penurunan jualan diesel tapi tidak menjadi masalah sebab di stesen minyak ini kami tumpu kepada jualan petrol. Untuk diesel kalau dulu boleh jual dalam 1,000 hingga 2,000 liter sehari tapi kini sudah turun ke beberapa ratus liter sahaja, memang sikit sebab saiz stesen kami pun kecil.
"Pegawai KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) juga selalu datang periksa stesen kami, memang kami sentiasa jaga jualan diesel dan petrol selain kawal jualan kepada kenderaan asing untuk elak diselewengkan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Jun 21 2024
Jualan diesel di stesen-stesen minyak berhampiran pintu sempadan negara menurun ekoran pengurangan pembelian bahan api itu. - Foto Bernama
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Saya dinasihatkan kekal sebagai MB Selangor - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan, termasuk merangka Rancangan Selangor Kedua yang dijangka siap pada 2026.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Disember 2024.
10 Berita Pilihan - (14 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, hari ini.
Checkmate! remaja tewaskan juara bertahan dari China
Seorang remaja berusia 18 tahun dari India, Gukesh Dommaraju dinobatkan juara dunia catur termuda selepas menundukkan lawannya dari China yang juga juara bertahan, Ding Liren. Dommaraju menewaskan Liren dalam satu perlawanan dramatik yang berlansung di Singapura.
Saya dinasihat kekal sebagai MB sehingga akhir penggal - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan.
Kehadiran kenderaan asing di stesen minyak di sempadan negara berkurang
Kehadiran kenderaan asing mengisi diesel di stesen minyak berhampiran pintu sempadan negara di Bukit Kayu Hitam dilihat berkurang dengan ketara sejak penyasaran semula subsidi.