MUKAH: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keharmonian antara kaum dan agama yang dinikmati di Sarawak menjadi asas penting kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kemajuan negeri.
Justeru, kata beliau, konsep ziarah mahabbah yang menekankan semangat saling mendekati, menyantuni serta mengasihi sesama masyarakat perlu terus diperkukuh bagi mengekalkan keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Di Sarawak, masyarakat Islam dan bukan Islam hidup dalam suasana saling memahami serta menghormati antara satu sama lain. Perpaduan inilah yang menjadi kekuatan kita untuk membangunkan negeri,” katanya ketika merasmikan Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Tahun 1448h/2026m (Zon Tengah Mukah/Kapit).
Abang Johari berkata pendekatan inklusif Sarawak turut mendapat pengiktirafan pemimpin agama dari luar negeri, termasuk wakil gereja yang kagum dengan keharmonian masyarakat di negeri itu.
Beliau berkata pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Sarawak sentiasa berpaksikan tiga teras utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, perubahan iklim yang semakin ketara menuntut Sarawak memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi secara lestari, termasuk membangunkan tenaga hidrogen sebagai sumber tenaga bersih pada masa depan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dengan memperkukuh penguasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bahasa Inggeris bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sarawak juga telah memperuntukkan RM25 juta bagi melaksanakan program penambahbaikan pendidikan untuk meningkatkan penguasaan STEM dan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sebagai pelengkap kepada dasar pendidikan kebangsaan.
“Penguasaan ilmu, inovasi dan harta intelek merupakan kunci bagi membolehkan Sarawak bersaing dalam bidang teknologi tinggi, termasuk industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih,” katanya.
Selain itu, beliau turut menggesa konsep wakaf ilmu diperluaskan sebagai satu bentuk sumbangan kepada pembangunan ummah, selain wakaf harta, bagi memperkasa masyarakat melalui penyebaran ilmu pengetahuan.
Sementara itu Abang Johari berkata pengambilalihan pegangan utama dalam Affin Bank membolehkan Sarawak memperkukuh kedudukan ekonominya serta memperluaskan kerjasama kewangan Islam demi manfaat rakyat.
Beliau berkata kedudukan kewangan negeri yang kukuh turut membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk pendidikan tinggi percuma, skim perumahan mampu milik dan pembangunan infrastruktur tanpa menjejaskan simpanan negeri menerusi dana kekayaan berdaulat.
-- BERNAMA