Kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kedua bukan atas nasib tetapi adalah hasil semangat sepasukan yang mengekalkan momentum perlawanan sengit sepanjang saingan liga.

Meskipun tewas mengejut kepada Felda United FC 1-2 pada perlawanan terakhir semalam di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kapten pasukan Mohd Safiq Rahim menyifatkan semua pemain tetap memberikan serangan kepada lawan walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain.

"Kejayaan kami menjulang trofi Liga Super buat kali kedua kali ini bukan atas nasib. Kami berhak mendapat kemenangan ini kerana pasukan telah berjuang habis-habisan bermula pada saingan liga lagi.

"Kalau pasukan tidak menunjukkan usaha dari awal saingan, kami tidak akan sampai ke tahap ini. Saya harap pasukan akan beraksi lebih baik pada musim akan datang untuk mempertahankan kejuaraan bagi musim depan," katanya selepas majlis penyerahan Piala Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam tadi.

Kejayaan skuad Harimau Selatan mempertahankan mahkota Liga Super itu turut dibantu kekalahan seteru utama, Pahang yang tewas 3-1 kepada Terengganu di tempat lawan.

Selaku juara, JDT membawa pulang wang tunai berjumlah RM750,000

Kejayaan muncul juara Liga Super 2015 turut membolehkan JDT layak selaku wakil Malaysia ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016.