ALOR SETAR: Kejayaan Kedah menambah baik dan memudahkan urusan untuk menjalankan perniagaan sehingga berjaya menarik minat pelabur, perlu dijadikan contoh dan penanda aras bagi negeri-negeri lain.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata adalah amat kritikal bagi semua kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi pemudah cara dengan tidak terlalu bergantung kepada peraturan lama yang menyulitkan pelabur.

"Banyak aktiviti yang telah dilaksanakan bagi memudahkan urusan perniagaan di sini, saya rasa ini satu perkara yang amat kritikal terutama selepas kita berhadapan dengan pandemik COVID-19, kita nak pulihkan semula ekonomi dan menggerakkan balik sektor perniagaan.

"Jadi kalau kita masih menggunakan kaedah lama, masih menggunakan peraturan yang ketinggalan dan sebagainya ia akan menyulitkan pelabur untuk datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Persidangan MyMudah peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Katanya beliau yakin negeri-negeri lain boleh melaksanakan hasrat itu seperti Kedah, namun ia memerlukan komitmen pelbagai pihak bagi membantu pelabur khususnya yang sering membuat aduan berkaitan kelulusan permit.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Mohd Zuki berkata usaha pembaharuan peraturan bagi menambah baik persekitaran perniagaan menjadi antara penyumbang utama kemajuan negeri ini.

Menurutnya projek E10: Permit Pembinaan Ekspress yang diteraju Majlis Perbandaran Kulim kini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain selain pelaksanaan kaedah Amalan Baik Peraturan (GRP) dan peraturan tangkas yang menjadi antara asas usaha pembaharuan kawal selia Kerajaan Negeri Kedah.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kedah yang menjadi negeri pertama menubuhkan Unit MyMudah di peringkat PBT dan negeri yang berjaya menambah baik ekosistem perniagaan dan meningkatkan profil Kedah sebagai destinasi pilihan pelaburan berimpak tinggi.

Mengenai persidangan MyMudah, Mohd Zuki berkata program anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu adalah platform perkongsian amalan terbaik dalam menambahbaik penyampaian peraturan.

"MPC turut akan menganjurkan Persidangan MyMudah peringkat kebangsaan, disusuli dengan Persidangan-persidangan MyMudah di peringkat negeri pada tahun ini agar inisiatif MyMudah ini dapat disebar luas dan dimanfaatkan oleh semua pihak di sektor awam dan swasta," katanya.

-- BERNAMA