KUALA LUMPUR: Jenama tudung tempatan, Kekaboo melancarkan 60 koleksi tudung bawal istimewa sempena Aidilfitri 2023 pada Sabtu.

Lebih unik, tudung bawal Rahmah turut dilancarkan bagi membantu wanita golongan B40 mendapatkan koleksi tudung mampu milik berkjualiti tinggi sempena Aidilfitri kali ini.

Kekaboo melancarkan 60 corak minimalis tudung bawal dalam satu acara pada Sabtu. Gambar: Astro AWANI

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kekaboo Sdn Bhd, Tajuddin Nor, ia merupakan sebahagian daripada sumbangan Kekaboo kepada kaum wanita.

"Kami sangat berbesar hati sebab ramai premium reseller dan ejen Kekaboo serta influencer yang datang hari ini menikmati koleksi kami sediakan khas untuk raya tahun ini.

"Yang paling istimewa lagi ialah kami dapat melancarkan tudung bawal Rahmah yang mana tudung ini kita keluarkan sebagai sumbangan kita kepada negara, rakyat dan wanita sempena Hari Raya Aidilfirti akan tiba tidak lama lagi," jelasnya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kekaboo Sdn Bhd, Tajuddin Nor dan Pengasas Bersama Kekaboo, Nur Hazwani Zainal pada Sabtu. Gambar: Astro AWANI

Tambah Tajuddin, dengan harga RM15, pelanggan boleh mendapatkan tudung berkualiti tinggi dengan harga mampu milik. 

"Koleksi yang istimewa ini kerana harganya sangat mampu milik, berharga RM15. Tujuan kita mengeluarkan tudung Rahmah ini sebagai tanda sumbangan kita kepada rakyat dengan harga yang sangat mampu milik.

"Kita dapat meringankan beban wanita di luar sana sempena raya mereka boleh bergaya dalam keadaan tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar," katanya lagi.

Sebanyak 290,000 tudung bawal Rahmah akan mula dijual dengan 73 corak serta warna yang menarik sempena Aidilfitri tahun ini.  Gambar: Astro AWANI

Sementara itu bagi pengasas bersama jenama Kekaboo, Nur Hazwani Zainal berkata, sebagai salah sebuah syarikat fesyen tudung bawal terunggul di negara ini, mereka terpanggil untuk menyahut seruan kerajaan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.

"Kita nak mainkan peranan kita, maksudnya semua sektor ada memainkan peranan mereka memberi inisiatif ini, jadi kami rasa kami sebagai pengusaha nak wanita pun nampak cantik dengan harga yang mampu milik.

"Kita faham dalam bulan Mac dan April adalah musim persekolahan bermula, begitu juga bulan Ramadan akan tiba jadi orang akan rasa berkira-kira untuk berbelanja, jadi menerusi inisiatif ini orang tidak rasa terbeban untuk memiliki pakaian harian mereka," kata Nur Hazwani.

Kekaboo Sdn Bhd menjangkakan sasaran jualan RM5 juta sepanjang Ramadan dan Aidilfitri. Gambar: Astro AWANI

Sebanyak 290,000 tudung bawal Rahmah akan mula dijual dengan 73 corak serta warna yang menarik sempena Aidilfitri tahun ini.

Malah Kekaboo turut menjangkakan sasaran jualan RM5 juta sempena Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Kekaboo Raya 2023 di Sungai Buloh pada malam Sabtu.

Selain tudung bawal Rahmah, Kekaboo turut melancarkan 60 koleksi tudung bawal pelbagai corak yang minimalis dengan warna yang menarik boleh disesuaikan dengan busana hari raya.

Harga bermula dari RM15 hingga RM28 untuk tudung bawal bidang 45, manakala bidang 50 pada harga RM38.

Sehingga kini, sebanyak 7,000 ejen berdaftar dan 400 reseller tudung bawal Kekaboo di seluruh negara.