KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) perlu dikekalkan walaupun negara beralih kepada pelan pemulihan seterusnya.

Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pematuhan SOP adalah kunci segalanya selain pemberian vaksin.

"Kita kena ingat bahawa pematuhan SOP itu adalah kunci segalanya di samping vaksin. Tidak bermakna apabila kerajaan telah memulihkan atau kita berpindah ke pelan seterusnya, maka kita bebas untuk melonggarkan aktiviti berkaitan SOP.

"SOP mesti kekal seperti biasa. Kita perlu pertahankan SOP itu,"katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Katanya lagi, agak sukar untuk menentukan titik keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi secara jelas.

"Yang penting kita lihat selagi mana sistem kesihatan kita masih terkesan, maksudnya kita tak boleh melakukan sebarang aktiviti yang dapat meningkatkan lagi kes.

"Kalau perkara itu dapat kita laksanakan, saya ingat tidak ada isu di situ,"ujarnya.