Kerajaan negeri Sarawak meluluskan penubuhan Immune Belt Enforcement Team (IBET) bagi mengekang kemasukan anjing liar yang membawa penyakit ke negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata usaha berkenaan pada masa sama bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Rabies di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pasukan ini penting bagi menghentikan kemasukan haiwan berkenaan menerusi sempadan antarabangsa yang panjang serta poros.

Selain itu ujarnya, IBET turut menyediakan ruang untuk pelbagai agensi bekerjasama di bawah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Sarawak menggunakan sumber yang ada.

“UKPN telah memainkan peranan utama dalam menyelaras operasi bagi memerangi wabak Rabies di Sarawak.

“Operasi lapan fasa telah bermula di Telok Melano pada Mac 2019 dan berakhir di Lawas pada November 2019 dan operasi telah berjaya memvaksinkan 26,000 anjing,” kata Abang Johari.

Abang Johari berkata demikian semasa sesi perutusan khas sempena Sambutan Peringatan Hari UKPN Ketiga di Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada Isnin.