KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan akhbar tempatan yang mendakwa tiada elemen rasuah ditemukan dalam siasatan melibatkan dua wanita China di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.

Bercakap kepada Astro AWANI, Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan baru memasuki hari keenam dan adalah tidak munasabah untuk menyelesaikannya dalam tempoh tersebut.

Justeru, beliau menggesa semua pihak termasuk pengamal media untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang mengatakan tiada elemen rasuah dalam kes berkenaan.

"Saya ingin mengatakan bahawa siasatan masih dijalankan, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi kerana ada yang mengandaikan tiada elemen rasuah sedangkan siasatan masih belum selesai.

"Siasatan baru saja dijalankan dalam tempoh lima hingga enam hari, jadi munasabahkah enam hari kita boleh selesaikan siasatan? Jadi berhati-hatilah dalam membuat kenyataan walaupun merujuk sumber.

"Saya menjawab ini kepada sebuah akhbar tempatan kerana tidak boleh macam ini. Selama ini media tanya saya, tapi tiba-tiba tidak tahu budak mana yang media tanya lepas itu dia kata tiada kes.

"Siapa budak itu? Jangan pandai-pandai kerana seolah-olah SPRM dah tarik 'handbrake'," katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.

Menjelaskan prosedur siasatan, Azam berkata, terdapat banyak perkara yang perlu dijalankan sebelum kes berkenaan boleh dirumuskan.

"Perkara ini saya dah sebut, pertamanya elemen rasuah yang perlu kita lihat dan dibuktikan seperti mana tohmahan, keduanya prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pihak berkuasa (Jabatan Imigresen).

"Manakala ketiga apa-apa peraturan yang perlu dikuatkuasakan di KLIA secara umum iaitu perlu dipatuhi mana-mana pihak di KLIA dalam menguruskan mereka yang tidak dibenarkan masuk ke negara ini atau dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.

"Siasatan ini akan merangkumi pelbagai sudut yang perlu kita lengkapkan," katanya.

Sementara itu, Azam turut mengesahkan kepada Astro AWANI bahawa syarikat yang dilantik untuk menguruskan warga asing yang dikenakan NTL telah dipanggil oleh agensi antirasuah itu.

"Syarikat itu telah dipanggil dan ada lagilah saksi-saksi yang dipanggil berkaitan perkara ini yang saya tidak boleh mendedahkan," ujarnya.

Pada 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.

Azam berkata, individu yang diambil keterangan termasuk seorang menteri, lapan kakitangan imigresen serta wanita warga China bersama rakannya dari negara sama.

Kekecohan di KLIA tular apabila seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan KLIA bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.

Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian itu dan mendakwa kehadirannya bagi membongkar kewujudan budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.