IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubungan kekecohan yang berlaku ketika Konvensyen DAP ke-19 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22A Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Menurutnya, setakat ini polis telah memanggil penganjur konvensyen untuk mendapatkan maklumat lengkap.

“Polis mendapati kehadiran perwakilan seramai 1,731 orang dan ia kurang daripada kapasiti maksimum dewan IICC iaitu 4,500 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM Perak juga sedang menganalisa video dan foto-foto yang diperolehi bagi mengenal pasti individu-individu serta kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), terutama semasa insiden kekecohan dan konvensyen berlangsung.

Menurutnya, kertas siasatan berkaitan kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“PDRM Perak menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana dikhuatiri akan mengganggu proses siasatan pihak polis,” ujarnya.

Pada Ahad, Konvensyen DAP Perak kecoh apabila timbul dakwaan berlaku penipuan jumlah perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi ahli jawatankuasa DAP negeri.

Kekecohan itu berlaku di luar dewan IICC, sejurus berakhir ucapan alu-aluan daripada Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.